suria

Muhyiddin Kunjungi Perdana Menteri India

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh yang sedang melakukan lawatan tiga hari ke negara ini.

Mereka berbincang selama 30 minit di hotel penginapan Manmohan di sini mengenai pelbagai isu dan peluang untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara di masa depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam yang turut hadir pada pertemuan tersebut memberitahu pemberita kemudiannya bahawa Perdana Menteri India itu turut menjemput Muhyiddin untuk melawat India yang diterima oleh Timbalan Perdana Menteri.

Kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai potensi untuk bekerjasama dalam bidang pembangunan sumber manusia.

"Kedua-dua pemimpin telah bincang bagaimana boleh bekerjasama dalam bidang pembangunan modal insan dan menggunakan pengalaman India dalam bidang ini khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi di mana India mempunyai latar belakang yang baik.

"India sedia memberi ruang dan peluang untuk membantu Malaysia membangunkan modal insan dalam sektor ini," katanya.

Manmohan dan anggota delegasinya akan berlepas ke Vietnam petang Khamis dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk menyertai Sidang Kemuncak Asean dan sidang-sidang kemuncak berkaitan di Hanoi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain