suria

Golongan Muda Batu Sapi Sentiasa Terbela Di Bawah BN - Rosnah

SANDAKAN: Nasib golongan muda di negara ini termasuk di Batu Sapi sentiasa terbela di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Oleh itu, katanya, tanggapan sesetengah pihak kononnya kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk membela nasib golongan muda terutama kaum wanita adalah tidak tepat.

Sebaliknya, Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, kerajaan B Ntelah menyediakan banyak kemudahan untuk golongan muda meneroka pelbagai bidang yang terbuka dalam program pembangunan negara.

"Sebenarnya keprihatian kerajaan terhadap program yang memenuhi aspirasi golongan muda amat terserlah sekali. Misalnya menerusi Program Latihan Khidmat Negara (PKLN), golongan muda dibentuk supaya menjadi generasi yang sayang serta cintakan negara," katanya kepada Bernama di sini.

Sambil merayu pengundi muda di Batu Sapi supaya memberi sokongan padu kepada calon BN pada pilihan raya kecil kawasan itu, Rosnah berkata kerjaan BN juga sentiasa mengetengahkan kepentingan generasi muda sebagai aset negara.

"Segala tuntutan serta keperluan golongan muda dipenuhi ke arah membentuk masyarakat yang sejahtera, sekaligus mengajar generasi muda supaya berdikari. Semua yang kerajaan BN lakukan ini adalah untuk faedah golongan muda termasuk yang tinggal di Batu Sapi," katanya.

Rosnah berkata generasi muda bukan sahaja diajar kemahiran diri tetapi juga diasuh dan dibimbing, dan daripada sudut politik pula, mereka diberi pendedahan supaya dapat menangkis segala tohmahan yang dilemparkan oleh anasir luar.

"Bagi pengisian rohani pula, kerajaan BN sentiasa menjalankan pelbagai program untuk melengkapkan pembentukan rohani generasi muda menerusi program pembangunan insan yang dapat dimanfaatkan oleh mereka," katanya.

Dalam pilihan raya kecil 4 Nov ini, calon BN Linda Tsen Thau Lin akan berdepan dengan Datuk Yong Teck Lee daripada Parti Maju Sabah (SAPP) dan Ansari Abdullah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Edmund Chong Ket Wah daripada BN akibat nahas jalan raya pada 9 Okt lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain