suria

Tiada Cadangan Wujud Pendaftaran Pemilih Secara Automatik - Nazri

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk mengadakan sistem pendaftaran pemilih secara automatik bagi pengundi mencapai umur 21 tahun kerana sebahagian besar rakyat Malaysia tidak tinggal di alamat yang tercatat dalam kad pengenalan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika menjawab soalan lisan Ab Aziz Ab Kadir (PKR-Ketereh) berkata, jika dilaksanakan, ia akan memberi implikasi besar kepada mereka yang terlibat.

Ini kerana katanya, memandangkan keadaan mobiliti penduduk amat tinggi ekoran berpindah alamat kediaman dan pertukaran tempat kerja.

“Tidak membuat pertukaran alamat pada kad pengenalan menyebabkan bilangan mereka yang didaftarkan di luar kawasan tempat mereka bermastautin adalah tinggi.

“Mungkin ada antara mereka tidak lagi menetap di alamat tersebut serta tidak mempunyai ahli keluarga di alamat yang didaftarkan. Jika hal ini berlaku, ia akan menimbulkan kesulitan pemilih itu sendiri,” katanya di Dewan Rakyat, Parlimen di sini pada Selasa.

Mohamed Nazri berkata, jika dilaksanakan juga, amat bertentangan dengan kehendak Perlembangaan mengenai tempat mastautin sebenar pemilih itu ekoran telah berpindah ke tempat lain.

Menurutnya, jika berlaku pilihan raya maka pemilih berkenaan akan menghadapi kesulitan untuk menentukan pusat mengundi kerana namanya tidak disenaraikan di tempat mengundi beliau bermastautin.

“Jika ramai yang berpindah tempat bermastautin tetapi tidak memaklumkannya kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dikhuatiri ramai pemilih tidak akan kembali mengundi jika pusat mengundi mereka terlalu jauh dari tempat kediaman mereka.

“Dikhuatiri peratus pemilih yang keluar mengundi di bahagian pilihan raya berkurangan dan akan menjejaskan imej negara di mata dunia. Hakikatnya, kerajaan belum lagi bercadang untuk membuat pendaftaran memilih secara automatik,” katanya.

Pun begitu, Mohamed Nazri menjelaskan, kerajaan sentiasa mengkaji cara lebih efektif dan mempertimbangkan pelbagai cadangan untuk mempertingkatkan dan menambahbaik kaedah sedia ada agar pilihan raya di negara ini lebih sistematik dan demokratik.

Membalas jawapan itu, Ab Aziz (PKR – Ketereh) berkata, sistem itu kemungkinan mempunyai contoh yang sudah dilaksanakan di negara-negara lain.

Beliau berkata, walaupun masalah yang sama berbangkit berhubung isu daftar pemilih tetapi masih wujud pengundi luar iaitu pengundi yang tidak mengikut alamat tetap.

“Sistem pendaftaran pemilih secara automatik ini dapat menyelamatkan banyak perkara, sebagai contoh wang kerajaan dan wang rakyat,” katanya.

Sebagai contoh, Ab Aziz berkata, berdasarkan perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kira-kira 4.3 juta rakyat yang berumur lebih 21 tahun tidak berdaftar.

“Jika kita mengikut cadangan SPR memberi setiap seorang RM3 kepada pembantu pendaftaran maka akan melibatkan kos melebihi RM12 juta.

“Saya rasa tiada masalah dengan mobiliti sekarang kerana kedudukan jalan raya pun baik. Ia sudah tentu tidak menjadi masalah jika kita mewujudkan satu sistem yang lebih baik untuk dilaksanakan bagi menjimatkan masa, tenaga dan birokrasi,” katanya.

SPR sebelum ini bercadang menaikkan bayaran kepada penolong pendaftar yang berjaya mendaftarkan setiap pemilih baru daripada RM1 kepada RM3.

Artikel Lain