suria

Model Inspira Proton Terima 1,100 Tempahan

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (Proton) telah menerima lebih 1,100 tempahan bagi model terbaharunya, Inspira, menjelang pelancaran sedan eksekutif empat pintu itu pada 10 November ini.

Pengeluar kereta nasional itu dalam satu kenyataan hari ini berkata bilik pamerannya di seluruh negara telah menerima banyak pertanyaan daripada pembeli kereta dan ramai yang telah membuat bayaran tempahan RM1,000 bagi kenderaan tersebut sejak pelancaran awalnya pada 21 Oktober.

"Minat yang begitu tinggi yang ditunjukkan sejak kami mengumumkan pengenalan model baharu itu sudah pastinya merupakan petunjuk yang pembeli menyukai kereta tersebut," kata Pengarah Urusan kumpulan Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Beliau berkata Inspira dibangunkan bersama oleh Proton dengan Mitsubishi Motor Corporation dari Jepun di bawah satu kerjasama strategik baharu.

"Kerjasama strategik baharu dengan Mitsubishi itu adalah berdasarkan kepada asas pertukaran pengetahuan, dan membawa Proton ke tahap tinggi baharu di mana kami mendapat faedah dari segi teknologi dalam usaha kami berkembang beransur-ansur menjadi pengeluar kereta global," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain