suria

GLC Masih Penuhi Aspirasi Kerajaan - Ahmad Husni

KUALA LUMPUR: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) masih lagi memenuhi aspirasi kerajaan terutama dalam menyumbang kepada pembangunan dan keperluan Bumiputera, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

"Daripada segi prestasi GLC, kita dapati prestasi mereka adalah sebagaimana yang kita harapkan. Mereka turut mengambil ramai kakitangan Bumiputera dan menjalankan program vendor untuk syarikat-syarikat bumiputera," katanya kepada pemberita selepas bertemu 56 perwakilan Kelab Umno Luar Negara yang menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2010, di sini Jumaat.

Ahmad Husni, yang juga Bendahari Umno, berkata GLC penting sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi dan sumbangannya terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Ketika diminta mengulas desakan perwakilan Umno supaya GLC yang tidak memenuhi dasar dan aspirasi kerajaan disingkirkan, Ahmad Husni berkata: "Kerajaan bukannya satu badan berkuasa yang tugasnya membuang orang. Jadi pada kita, kalaulah ada individu yang tidak menyokong kerajaan dalam GLC, kita akan panggil dan bincang dengan pihak berkenaan."

Beliau berkata kerajaan akan menyiasat sekiranya terdapat dakwaan GLC tertentu "berlawanan" dengan aspirasi kerajaan. "Kalau (benar) mereka berlawanan, kita tiada pilihan, kita akan ambil tindakan," katanya ketika ditanya sekiranya didapati GLC "berlawanan" dengan aspirasi kerajaan.

Menyentuh tentang Program Transformasi Ekonomi, Ahmad Husni berkata Kabinet telah memutuskan untuk mengadakan rumah terbuka di seluruh negara bagi memberi peluang kepada rakyat untuk lebih memahami program itu.

Sehingga kini, rumah terbuka telah diadakan di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak, kata Ahmad Husni.

"Kita mahu seramai mungkin tahu mengenai asas dan pendekatan untuk lakukan transformasi ekonomi. Jadi, dengan mengadakan rumah terbuka dapat membantu meluaskan kefahaman orang ramai mengenai transformasi ekonomi itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain