suria

Hanya Melayu Berilmu Akan Maju - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada orang Melayu bahawa pertarungan pada hari ini adalah pertarungan minda dan kemahiran.

Presiden Umno mengingatkan bahawa hanya mereka yang berilmu, menguasai maklumat akan berkuasa mempengaruhi persekitaran.

"Siapa yang berilmu, siapa yang menguasai maklumat, dialah kudrat yang mempengaruhi persekitaran.

"Oleh itu janganlah kita mengambil jalan mudah dengan bersifat dogmatik dan berpuas hati dengan bentuk berbanding isinya," katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno ke-61 di sini, Khamis.

Najib berkata, amat mustahak Melayu alaf ketiga bersiap sedia sesuai dengan zamannya.

Melayu abad ini ialah bukan lagi yang obses terhadap hak sebaliknya wajib mempersiapkan diri untuk memanfaatkan hak yang ada, jelas beliau.

Katanya, kaum itu mesti gigih membina keupayaan dan kemampuan, bukan sekadar mendabik dada bahawa mereka harus berjaya kerana itu adalah hak mereka.

Mahu tidak mahu, ujar beliau, Melayu abad ini harus berdepan dengan realiti untuk meraih kejayaan.

"Kita harus menjadi Melayu yang glokal. Melayu seharusnya mampu bersaing dengan yang terbaik, mampu bertarung dengan yang paling kuat dan menjadi yang terhebat di pentas antarabangsa," katanya.

Perdana Menteri menegaskan: "Justeru saya sebagai Presiden Umno tidak mahu menerima alasan bahawa anak Melayu masih lemah kesan penjajahan hampir lima kurun."

Beliau menegaskan bahawa bersama pemimpin parti, beliau tidak rela melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang meminta-minta.

"Kita juga tidak mahu melihat Melayu menjadi bangsa yang berpuas hati dengan momokan rezeki secupak tak akan jadi segantang" ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain