suria

Perhimpunan Agung Ke-61 Pencetus Model Baru Politik Umno

KUALA LUMPUR: Pemimpin dan ahli Umno peringkat akar umbi diingatkan supaya lebih bersikap terbuka dan bersedia melakukan perubahan budaya menerusi model baru politik sebagai persedian menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, ahli peringkat akar umbi perlu berperanan sebagai perantara bagi membentuk imej yang disenangi dan dekat di hari rakyat.

"Peranan parti di peringkat akar umbi sangat penting, saya banyak tekankan supaya (parti) bersifat inklusif dan dapat menunjukkan imej yang disenangi oleh rakyat dan sentiasa dekat dihati rakyat melalui pelbagai aktiviti.

"Saya juga menggariskan beberapa faktor yang penting dalam sistem demokrasi berparlimen ini iaitu bukan sahaja soal kepimpinan negara dan negeri tapi juga parti dan juga calon yang kita tetapkan... bila sampai pada masanya (pilihan raya) mesti (pilih) mereka yang disenangi," katanya pada sidang media selepas menyampaikan Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno ke-61 di sini, Selasa.

Selain itu Perdana Menteri juga berkata, proses pemulihan politik dalam Umno sudah dilakukan apabila berjaya meminda Pelembagaan pada Perhimpuan Khas tahun lalu.

Namun jelasnya pembaharuan itu perlu disusuli dengan perubahan budaya dari segi pemikiran dan tindakan agar ia menular ke peringkat akar umbi.

"Pembaharuan Umno mesti disusuli dengan perubahan budaya, pemikiran serta tindakan agar ia meresap dan menular ke peringkat Bahagian," katanya.

Menerusi taklimat hampir dua jam itu, Najib juga mengingatkan kepada perwakilan agar mengambil kesempatan terhadap kelemahan yang ditunjukkan pembangkang akhir-akhir ini.

"Kelemahan yang terdapat dalam parti pembangkang terlalu menyerlah sehari dua ini yang sepatutnya diambil kesempatan oleh ahli dan anggota parti," katanya.

Ditanya sama ada Umno akan mengambil iktibar daripada kekecohan yang berlaku pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana parti itu juga bakal mengadakan pemilihannya tahun hadapan yang membolehkan 146,500 perwakilan memilih pemimpin, Najib berkata Umno mempunyai kaedah yang tersendiri bagi memenangi perkara tersebut.

"Kita tak boleh ambil iktibar, kita ada cara yang tersendiri dan insya-Allah kita akan urusakan perkara ini dengan baik bila sampai masanya nanti.

"Kita sedar bahawa tidak mudah dan tak boleh pandang ringan, tapi saya percaya ahli Umno akan menghormati disiplin dan tunjuk imej yang baik," katanya.

Tambah Najib, beliau berharap para perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno kali ini dapat menunjukkan kematangan sewaktu sesi perbahasan dengan membahaskan isu-isu nasional.

"Diharapkan juga perwakilan akan memberi pandangan yang bernas kepada kerajaan untuk membantu menguruskan hala tuju dasar negara dengan mengemukakan pandangan yang konstruktif kepada kerajaan.

"Saya sentiasa bersikap terbuka... kalau parti lain boleh minta, Umno pun boleh buat desakan, ia tak menjadi masalah kerana pada akhirnya kita akan merumuskan sesuatu untuk negara," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain