suria

Dua Beradik Merogol Dipenjara 16 Tahun

KLANG: Dua beradik dihukum penjara selama 16 tahun dan sebatan tiga kali oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, selepas disabitkan bersalah merogol seorang penuntut kolej swasta, enam tahun lalu.

Hakim Yong Zarida Sazali menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa tertuduh, R.Vickneswaran, 31, dan R.Sivaraman, 28, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

Beliau yang mendengar keterangan 10 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan juga mendapati, pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorbaya Jamil berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan yang munasabah.

Usaha dua tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman juga gagal selepas Yong Zarida menolak permohonan tertuduh yang dikemukakan menerusi peguam V.Murali.

Murali sebelum itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan kepada tertuduh memandangkan mereka mempunyai seorang ibu yang sudah tua.

Siti Noorbaya pula memohon hukuman berat dikenakan memandangkan perbuatan tertuduh meninggalkan kesan yang mendalam kepada fizikal dan emosi mangsa.

“Mahkamah dapat melihat sendiri bagaimana mangsa masih mengingati dengan terperinci kejadian yang berlaku meskipun dia memberi keterangan lima tahun selepas peristiwa berlaku.

“Tertuduh telah menyalahgunakan kekuatannya sebagai lelaki untuk mengambil kesempatan kepada mangsa,” tambahnya.

Vickneswaran dan Sivaraman yang merupakan bekas pekerja sebuah pasar raya didakwa merogol mangsa yang semasa itu berusia 24 tahun, antara pukul 11.15 malam, 15 April dan 1 pagi, 16 April 2004.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik nombor 11, Jalan Talents Motor Park, Lot 29700, Kampung Raja Uda, Persiaran Raja Muda, di sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Perbicaraan sebelum ini menyatakan, tertuduh bersama dua lagi lelaki yang lain telah menahan mangsa yang semasa itu berjalan bersama seorang rakan lelaki selepas makan malam di Subang Jaya, dekat sini.

Rakan lelaki mangsa dipukul manakala mangsa ditarik masuk ke dalam kereta Proton Iswara nombor pendaftaran NAY 277 dan diacukan dengan parang serta pisau.

Mangsa diugut dengan diberikan dua pilihan, iaitu sama ada dirogol oleh dua tertuduh atau dihantar ke sebuah rumah untuk dirogol oleh sembilan lelaki dan dibunuh.

Akibat ketakutan, mangsa memilih pilihan pertama dan Vickneswaran terlebih dahulu merogol mangsa sebelum giliran Sivaraman.

Rakan lelaki mangsa pula dihantar pulang ke rumah untuk mendapatkan wang selepas tidak berpuas hati dengan jumlah yang dikeluarkan menerusi mesin pengeluaran wang automatik.

Artikel Lain