suria

Malaysia-Brunei Permudah Proses Menyeberang Sempadan Untuk Pesakit

PUTRAJAYA: Malaysia dan Brunei Darussalam bersetuju mempermudahkan prosedur pemeriksaan ke atas pesakit yang menyeberangi sempadan semasa berlaku kecemasan untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata purata 120 kes pesakit yang menyeberangi sempadan dilaporkan setiap tahun, sebahagian besarnya membabitkan mereka yang tinggal di Limbang, Sarawak, yang dirujuk ke Miri untuk mendapatkan rawatan.

Rakyat Malaysia yang tinggal di Limbang perlu melakukan perjalanan melalui Brunei Darussalam untuk pergi ke Miri.

Oleh itu, katanya, keputusan itu dibuat untuk memastikan agar pesakit boleh mendapatkan rawatan segera, tanpa perlu berdepan kesukaran pemeriksaan untuk menyeberangi sempadan.

"Seperti yang kita tahu, banyak rakyat Malaysia tinggal di Limbang dan, untuk pergi ke Miri, mereka perlu melalui Brunei Darussalam. Jadi, kedua-dua negara bersetuju mempermudahkan prosedur pemeriksaan untuk menyeberangi sempadan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Bilateral ke-5 Menteri-Menteri Kesihatan Malaysia dan Brunei Darussalam, Sabtu.

Turut hadir ialah Menteri Kesihatan Brunei Darussalam Pehin Datuk Adanan Mohd Yusof.

Liow berkata satu prosedur operasi standard (SOP) akan disediakan dan para pegawai yang boleh dihubungi 24 jam akan dilantik oleh kementerian di kedua-dua negara bagi tujuan itu.

Dalam perkembangan berasingan, Liow berkata kedua-dua pihak turut bersetuju untuk meneroka bidang baru kerjasama, termasuk pelancongan kesihatan.

Beliau berkata anggota jawatankuasa Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia akan bekerjasama rapat dengan pegawai dari Brunei untuk membincangkan pakej menarik.

"Kami ingin menawarkan pakej supaya lebih banyak pesakit dari Brunei Darussalam akan datang ke Malaysia," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain