suria

MB Negeri Sembilan Puji Tindakan Pantas Bantu Mangsa Ribut

SEREMBAN: Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan memuji tindakan pantas persatuan penduduk Taman Satria di Senawang dan Kawasan Rukun Tetangga serta Umno cawangan taman itu membantu mangsa rumah yang rosak akibat dipukul ribut, petang Jumaat.

Beliau turut berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menghulurkan bantuan ehsan sebanyak RM200 kepada setiap keluarga terbabit dan pekerja Majlis Perbandaran Seremban serta anggota bomba dan penyelamat yang turut membantu membersihkan sampah selain menebang pokok tumbang di kawasan itu.

"Saya nak lihat supaya lebih banyak lagi pekerja yang boleh membaiki rumah tersebut dengan segera....maklum saja sekarang musim hujan, nanti akan menyebabkan kesulitan dan kesusahan kepada penduduk yang terlibat berikutan kerosakan rumah mereka. "Segala kos membaiki kerosakan rumah tersebut akan ditanggung oleh pejabat saya. Saya harap mereka yang terlibat ini akan berada dalam keadaan selesa semula setelah kerosakan itu dibaiki," katanya kepada pemberita selepas melawat rumah mangsa yang dilanda ribut pada 3.30 petang Jumaat, Sabtu.

Hujan lebat dan ribut yang melanda taman perumahan itu menyebabkan 51 rumah di kawasan itu rosak teruk di bahagian bumbung. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain