Deejay Lil' Kev Menang Kes Saman Terhadap AMP - Semasa | mStar

Deejay Lil' Kev Menang Kes Saman Terhadap AMP

KUALA LUMPUR: Bekas deejay radio Lil'Kev pada Rabu menang dalam kes samannya terhadap anak syarikat ASTRO, Airtime Management Programming Sdn Bhd (AMP) bagi mendapat deklarasi bahawa AMP telah memungkiri terma-terma perjanjian pekerjaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Rosilah Yop membenarkan saman yang difailkan Lil' Kev atau nama sebenarnya Kevin Arokiasamy yang mengendalikan rancangan radio pagi 'The Morning Show' di saluran radio Hitz.FM pada 2002 sehingga 2003, terhadap AMP selepas mendengar keterangan empat saksi.

Kevin, 39, ketika dihubungi mengenai keputusan itu berkata beliau merasa lega kerana selepas tujuh tahun akhirnya kes itu selesai.

Bapa kepada dua anak yang kini merupakan deejay sambilan berkata keputusan itu membuktikan stesen radio tidak seharusnya mengubah perjanjian dengan alasan yang tidak munasabah.

Dalam keputusannya Rosilah membenarkan permohonan Kevin bagi menuntut deklarasi bahawa surat AMP bertarikh 28 Ogos 2003, berhubung 'his transfer from Hitz FM breakfast shift to Hitz FM Drive shift' merupakan keingkaran asasi terhadap terma-terma perjanjian pekerjaannya dengan syarikat itu.

Beliau juga membenarkan permohonan Kevin bagi mendapat deklarasi bahawa surat itu bermakna AMP telah mengingkari dan menolak terma-terma perjanjian dan membenarkan beliau untuk menamatkan perjanjian dan seterusnya menuntut ganti rugi.

Bagaimanapun jumlah gantirugi yang bakal diperolehinya akan ditaksir kemudian oleh mahkamah.

Mahkamah juga menolak saman balas berjumlah RM1.09 juta yang difailkan AMP kerana kehilangan pendapatan hasil pengiklanan yang dialami oleh AMP selepas Kevin menamatkan perkhidmatan sebelum kontraknya tamat.

Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan pada 2004, Kevin berkata beliau dan AMP telah memasuki perjanjian pekerjaan yang mana beliau bersetuju menjadi salah seorang pengacara radio untuk saluran radio syarikat itu selama dua tahun mulai 16 Julai 2002 sehingga 15 Julai 2004.

Beliau berkata perjanjian itu menyatakan bahawa waktu kerja atau siaran radio di mana beliau berkhidmat adalah pada pukul 6 pagi sehingga 10 pagi setiap hari.

Kevin berkata beliau ditawarkan gaji RM24,000 sebulan pada tahun pertama dari Julai 2002 hingga Julai 2003 dan RM26,000 sebulan pada tahun kedua dari Julai 2003 hingga Julai 2004.

Beliau berkata perjanjian itu menyatakan bahawa selain daripada gaji bulanan, AMP juga akan membayar insentif kepadanya berdasarkan kepada kajian penilaian jumlah pendengar radio untuk rancangan itu yang dikelolakan oleh syarikat penilaian A.C.Nielsen.

Melalui surat AMP bertarikh 28 Ogos 2003, AMP telah mengarahkan Kevin bertukar waktu kerja atau siaran radionya ke waktu siaran 4 petang hingga 7 petang.

Arahan itu telah memungkiri terma-terma perjanjian itu yang memperuntukkan bahawa Kevin telah berkontrak untuk bekerja pada waktu 6 pagi sehingga 10 pagi dan bayaran insentifnya juga tertakluk kepada waktu itu secara mutlak.

Rancangan popular itu dikendalikan oleh Kevin bersama deejay Saufian Mokhtar yang dikenali sebagai Fly Guy yang ke udara pada pukul 6 pagi sehingga 10 pagi setiap hari pada ketika itu.

AMP dalam pernyataan pembelaan berkata walapun Kevin ditukarkan ke syif lain, beliau telah ditawarkan insentif-insentif yang relevan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Anggota PKR Cabang Baling Ancam Keluar Parti

Artikel Berikut

Dua Wanita Iran Bebas Tuduhan Edar Syabu

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

Artikel Lain