suria

Polis Tahan 10 Lelaki Siasat Kecurian 'Hard Disk' Bernilai RM4 Juta

SHAH ALAM: Polis menahan 10 lelaki warga tempatan dipercayai terlibat dalam kes kecurian 10,840 unit cakera keras bernilai RM4 juta dari sebuah gudang di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, Sabtu lepas.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Omar Mammah berkata, hasil penahanan kesemua suspek, pihaknya berjaya menemui semula sebahagian besar cakera keras tersebut yang disimpan di sebuah rumah di Pekan Behrang, Tanjung Malim, Perak pada Isnin.

Semua lelaki terbabit ditahan dalam tempoh tiga hari sejak Sabtu, selepas polis menerima laporan mengenai kecurian sebuah lori memuatkan cakera keras dari gudang berkenaan, katanya pada sidang media, di sini, Selasa.

Mengulas kejadian itu, Omar berkata lori tersebut dipercayai dilarikan kira-kira pukul 5.20 pagi, dan susulan laporan polis yang dibuat dua jam kemudian, pihaknya menahan dua pekerja gudang terbabit dan tiga pekerja gudang bersebelahan bagi membantu siasatan.

"Keesokan harinya pada 26 Sept, kami menahan tiga lagi lelaki iaitu dua pekerja dan seorang bekas pekerja gudang tersebut. Salah seorang suspek kemudian mendedahkan bahawa dia terlibat dalam kes itu dan telah membawa polis ke sebuah rumah di Bandar Behrang, Tanjung Malim, Perak, semalam," katanya.

Hasil serbuan ke atas rumah itu, polis menemui 542 kotak berisi cakera keras yang dipercayai dicuri dari gudang terbabit, selain menahan dua lelaki, kata beliau.

"Kita berjaya menemui lebih 90 peratus 'hard disk' terbabit. Siasatan mendapati suspek-suspek telah berusaha untuk menjualnya semula di pasaran tempatan tetapi tidak berjaya 'dispose' barangan itu dengan cepat berikutan jumlahnya yang banyak," katanya.

Omar berkata, polis kini mengesan seorang lelaki dikenali Komessiroe anak Kamis @ Siro, berusia 25 tahun bagi membantu siasatan dan memohon kerjasama orang ramai yang mengenali lelaki itu agar tampil di balai polis berhampiran.

Polis juga katanya masih mengesan lori yang dilarikan tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain