suria

Persatuan Mahu Nelayan Salah Guna Minyak Subsidi Dikenakan Penalti

SIBU:Persatuan Kapal Perikanan Sarawak pada Khamis menggesa supaya tindakan diambil terhadap nelayan yang didapati menjual minyak subsidi dan tidak menggunakannya untuk pergi ke laut bagi menangkap ikan.

Presidennya Hua Tung Ting hari ini berkata tidak dinafikan terdapat "kambing hitam" di kalangan nelayan tetapi menurutnya majoriti mereka adalah jujur.

Beliau mengulas dakwaan mengenai perkara itu oleh Anggota Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing di Bintulu baru-baru ini.

"Kami amat menghargai sekiranya Tiong dapat mengaturkan satu dialog dengan kami untuk mengatasi masalah itu," katanya kepada pemberita di sini.

Persatuan itu mempunyai kira-kira 4,000 anggota di sini, Kuching, Bintulu dan Miri. Ia merupakan satu daripada empat persatuan utama di negeri ini.

Hua berkata tahun lepas lebih 70 peratus anggota persatuan itu mendakwa pemberian dan penerimaan minyak subsidi dibuat mengikut formula Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) iaitu bagi setiap satu kilogram ikan, nelayan berhak mendapat subsidi 10 sen.

"Tetapi, bagi tahun ini, kami masih belum mendapat sebarang subsidi walaupun kami diberitahu yang dana itu ada," katanya.

Hua juga mendakwa kapal dan krew asing yang digaji oleh pelabur tempatan yang berpangkalan di Tanjung Manis di Bahagian Sarikei masih menjual hasil tangkapan yang berkualiti kepada kapal asing di tengah laut.

"Terdapat kira-kira 340 kapal perikanan beroperasi di sana dan kira-kira 95 daripada mereka juga menikmati minyak subsidi," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau mahu LKIM meminda undang-undang yang digubal pada 1985, mengenai pemindahan kapal perikanan, seperti daripada bapa kepada anaknya, anaknya itu perlu pergi sejauh 30 batu di tengah laut untuk menangkap ikan berbanding 10 batu sebelumnya.

Katanya dalam kebanyakan kes, bot berkenaan adalah kecil dan diperbuat daripada kayu dan tidak dapat menahan ombak besar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain