suria

Satu Lagi Kematian Akibat Denggi Minggu Lepas, Jumlah Terkumpul Kini 105

KUALA LUMPUR: Satu kematian akibat deman denggi melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dilaporkan dalam tempoh antara 5 dan 11 September lepas, menjadikan jumlah kematian akibat penyakit itu tahun ini berjumlah 105 orang sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata kes demam denggi bagaimanapun dilaporkan menurun 21 peratus dalam tempoh itu kepada 898 kes berbanding 1,144 kes yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

"Dua negeri dikesan berlaku peningkatan kes pada minggu lepas iaitu Terengganu (15 kes) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya (empat kes)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata jumlah kes terkumpul yang dilaporkan tahun ini dari Januari hingga September mencatatkan peningkatan 13 peratus kepada 34,730 berbanding 30,588 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Dr Mohd Ismail berkata kematian murid perempuan dari Terengganu itu didapati berpunca daripada "Dengue Shock Syndrome" selepas dia mengalami demam pada 2 September lepas.

Pemeriksaan yang dijalankan di kawasan rumah murid itu menunjukkan terdapat kesan tahap pembiakan Aedes yang tinggi iaitu 1.7 peratus dan merupakan lokaliti wabak yang melaporkan 34 kes deman denggi dalam tempoh lima minggu.

Menurutnya 255 lokaliti wabak denggi dipantau di seluruh negara dan daripada jumlah itu 28 lokaliti "kawasan panas" dikenal pasti minggu lepas, membabitkan 407 kes deman denggi dan lokaliti "kawasan panas" ini masih melaporkan 143 kes baru pada minggu tersebut.

"Kementerian Kesihatan mendapati 92 peratus daripada bekas pembiakan Aedes yang diperiksa membabitkan kawasan luar premis," katanya.

Mengenai penyakit Chikungunya, beliau berkata sejumlah lima kes dilaporkan pada tempoh yang sama berbanding minggu sebelumnya iaitu 12 kes. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

18 Maut Hari Ke-11 Ops Sikap Ke-22

Artikel Lain