suria

Rakyat Gembira Pemasyhuran Sultan Kelantan Baru

KOTA BHARU: Rata-rata rakyat Kelantan yang ditemui melahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuatkuasa Isnin.

Bagi mereka dengan pemasyhuran itu juga mengakhiri kemelut yang melanda institusi Kesultanan Kelantan sebelum ini dan yakin Kelantan di bawah pemerintahan Tengku Muhammad Faris Petra, negeri itu akan terus maju dan makmur.

Seorang peniaga di bandar ini, Lee Chuan Eng, 43, berkata beliau berasa bangga dengan pemasyhuran tersebut kerana Sultan Kelantan itu dikenali seorang raja yang sangat mengambil berat soal kebajikan rakyat jelata.

"Saya sangat gembira dan rasa berbangga dan berharap bukan sahaja masalah istana selesai tetapi Kelantan akan terus maju," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Seorang usahawan muda dari Jeli, Mohd Nazirin Razali, 29, berkata rakyat Kelantan sangat bertuah memiliki seorang raja yang sanggup ke pedalaman bertemu rakyat dan membantu menyelesaikan masalah mereka.

"Sultan Kelantan sangat berjiwa rakyat serta mempunyai ilmu agama yang tinggi dan kami rasa berbangga dengan baginda," katanya.

Peniaga emas, Abdul Aziz Mohd, 38, pula berharap Kelantan akan terus maju dan makmur di bawah pemerintahan baginda.

Katanya peniaga sepertinya mengharapkan Kelantan akan terus menjadi tumpuan pelancong dan merancakkan ekonomi peniaga sepertinya.

Seorang anak Kelantan yang tinggal di perantauan, Zazali Mohd, 35, pula menyifatkan pemasyhuran itu sebagai satu kebanggaan kepada rakyat Kelantan yang tinggal di luar negeri itu.

"Sebelum ini pun nama Tengku Muhammad Faris Petra sangat dikenali dan dikagumi rakyat luar Kelantan dan kami sangat berbangga dengan pemasyhuran baginda itu," katanya. Pada Isnin, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan pemasyhuran itu di Balai Rong Seri Istana Balai Besar di sini. Tengku Muhammad Faris Petra merupakan Sultan Kelantan yang ke-29 menggantikan ayahandanya Tuanku Ismail Petra yang sedang gering. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain