suria

Sibu Berdepan Kemungkinan Banjir Ketika Raya

SIBU: Bandar Sibu berdepan dengan kemungkinan dilanda banjir sekali lagi berikutan keadaan hujan lebat di hulu sungai kawasan Belaga dan Kapit sejak beberapa hari lepas.

Residen Sibu Sim Kok Kee berkata pihaknya kini memantau keadaan memandangkan kawasan tersebut juga mengalami air pasang tinggi yang akan berterusan sehingga Isnin ini. "Kami sedang memantau paras air di Sungai Rajang," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Sim berkata buat masa ini paras air di sungai-sungai di Belaga, Kapit dan Julau berada di antara dua dan tiga meter di bawah paras amaran.

"Walaupun dianggap sederhana, kita masih dalam keadaan berjaga-jaga kerana apabila ia mencapai paras melebihi tebing, kawasan rendah dan jalan akan dilanda banjir sekali gus merosakkan suasana perayaan," katanya.

Tambahan pula katanya, ramalan cuaca menunjukkan kejadian ribut petir dan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sarawak bermula esok selama enam hari.

"Kami akan sentiasa berhubung dengan Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Meteorologi untuk mendapatkan perkembangan terkini dan kita akan maklumkan kepada masyarakat daripada semasa ke semasa," katanya.

Tiga minggu lepas bandar Sibu dilanda banjir selam empat hari ekoran hujan lebat dan air pasang tinggi, yang menyaksikan kira-kira 20 buah sekolah terpaksa ditutup kerana ditenggelami air. - BERNAMA

Artikel Lain