suria

SFC Rampas 1,200 Penyu Telur Di Bazar Di Kawasan Sempadan

KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dengan kerjasama Pasukan Gerakan Khas (PGK) merampas lebih 1,200 telur penyu dan sebilangan spesies dilindungi termasuk ular sawa, tuntung, penyu cangkang lunak dan tupai di dua tempat berasingan akhir minggu lepas.

Pengarah Urusan SFC Datuk Len Talif Salleh berkata rampasan hidupan liar itu dilakukan dalam operasi bersepadu SFC dengan PGK dari Batalion ke-11 di Batu Kawa di bazar sempadan Serikin dekat sini dan Pasar Lacau dekat Sri Aman pada Sabtu dan Ahad lalu.

"Rampasan 1,200 telur penyu di Serikin merupakan rampasan kedua terbesar dalam sejarah SFC akan terus berkerjasama dengan polis dan agensi relevan lain bagi membendung perniagaan hidupan liar yang haram," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya SFC akan meneruskan usaha memantau tapak panas aktiviti haram itu dan memberi amaran bahawa pihaknya tidak bertolak ansur dengan kegiatan perniagaan hidupan secara haram di negeri itu.

Len Talif berkata undang-undang akan dikuatkuasakan secara agresif bagi menjamin haiwan dan spesies yang dilindungi terus terpelihara di negeri itu termasuk beberapa pendekatan penguatkuasaan di sepanjang kawasan sempadan.

SFC bertanggungjawab menguatkuasakan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, Ordinan Perhutanan 1998 dan Ordinan Taman Negara dan Hutan Simpan 1998. - BERNAMA

Artikel Lain