suria

Kerajaan Sabah Akan Terus Dengar Isu Penting Jejas Rakyat - Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa kerajaan negeri akan terus mendengar isu penting membabitkan mereka ataupun kumpulan tertentu.

"Adalah tidak adil untuk sesetengah pihak mendakwa kerajaan dan pemimpinnya tidak menghiraukan isu-isu yang dibangkit.

"Kami sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk berlaku adil kepada semua," katanya dalam mesej Hari Raya Aidilfitri, di sini Khamis.

Musa berkata setiap rakyat mempunyai tempat dalam masyarakat dan mesti diberi peluang yang sama untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Beliau juga menggesa rakyat Malaysia di Sabah agar mengamalkan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Perpaduan kekal keutamaan dalam polisi kerajaan dan saya gembira melihat 1Malaysia sekarang menjadi cara hidup," katanya.

Mengenai pembangunan, Musa berkata kerajaan persekutuan giat melaksanakan inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara dan kerajaan negeri akan membantu sedaya upaya.

Pada peringkat negeri, beliau berkata Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang meliputi pelbagai sektor ekonomi dengan keutamaan dalam pertanian, perkilangan dan pelancongan kini berada di landasannya.

"Satu daripada isu utama yang ditumpukan Sabah menerusi SDC ialah mengurangkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar serta antara rantau. Kita mesti memastikan pembangunan saksama untuk semua," katanya.

Musa turut menggesa masyarakat untuk turut mengingati mereka yang kurang bernasib baik pada Aidilfitri ini dan berkongsi kegembiraan itu bersama golongan tersebut menerusi sumbangan dan sebagainya.

Beliau juga berterima kasih kepada pasukan keselamatan di atas perkhidmatan yang diberikan dalam mengawal keselamatan Sabah. - BERNAMA

Artikel Lain