suria

Negara Hargai Jasa NZ Bantu Rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia telah menyampaikan penghargaannya kepada pihak berkuasa New Zealand kerana mengambil berat terhadap keselamatan dan kebajikan rakyatnya dalam kejadian gempa bumi di Christchurch, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Datuk Hasnudin Hamzah.

Beliau juga memuji masyarakat setempat kerana sudi menghulurkan bantuan kepada warga Malaysia dalam menghadapi gempa bumi berukuran 7.0 pada skala Ritcher itu.

"Alhamdulillah, tiada sebarang kemalangan jiwa. Kami sentiasa prihatin tentang nasib anda dan mereka yang terjejas oleh kejadian yang amat mencabar itu dan kami berdoa kepada Allah Subhanahuwataala supaya melindungi kita daripada kejadian serupa pada masa akan datang," katanya pada majlis sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-53 di Wellington pada Isnin malam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Keadilan New Zealand Georgina Te Heuheu, Menteri Perdagangan Tim Gloser dan para wakil Majlis Perniagaan New Zealand-Malaysia dan persatuan pelajar Malaysia di negara itu.

Bandar raya di South Island itu dilanda gegaran susulan selepas berlakunya gempa bumi tersebut yang disifatkan paling buruk dalam tempoh hampir 80 tahun lepas di New Zealand.

Hasnudin berkata sambutan itu juga menandakan wujudnya hubungan kukuh dan ikatan persahabatan yang erat antara kedua-dua negara sejak 53 tahun lepas memandangkan New Zealand adalah antara negara pertama yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur berikutan kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 1957.

"Dalam tempoh setahun lepas, hubungan dua hala antara Malaysia dan New Zealand terus diperkukuhkan melalui hubungan berterusan antara pemimpin, anggota kerajaan, pegawai kanan dan rakyat kedua-dua negara," katanya. Lawatan Perdana Menteri New Zealand John Key ke Malaysia pada Oktober tahun lepas, yang diringi Groser dan 60 wakil masyarakat perniagaan New Zealand sempena pemeteraian FTA Malaysia-New Zealand, merupakan peristiwa yang amat penting, kata beliau. Hasnudin berkata beliau berharap lebih banyak rakyat New Zealand akan berkunjung ke Malaysia apabila Air Asia X, syarikat penerbangan tambang murah terkemuka Malaysia, mengadakan perkhidmatan antara kedua-dua negara tidak lama lagi.

"Menteri Pelancongan Malaysia Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, yang melawat New Zealand baru-baru ini, ingin menarik lebih banyak pelancong New Zealand ke Malaysia, terutama penumpang Malaysia Airlines (MAS) yang membuat persinggahan dalam perjalanan ke Eropah dan mereka yang dalam perjalanan pulang ke New Zealand," katanya.

Kini, MAS mengadakan penerbangan lima kali seminggu bagi laluan itu dan bercadang menambah satu lagi penerbangan awal tahun depan.

Mengenai kerjasama dalam bidang pendidikan, beliau berkata setakat Ogos tahun ini, sebanyak 2,316 pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di New Zealand.

"Saya harap lebih ramai pula pelajar New Zealand yang mengikuti pengajian di Malaysia dalam tempoh terdekat kerana ini boleh membantu memupuk persefahaman tentang nilai dan budaya satu sama lain untuk faedah jangka panjang kedua-dua negara.

"Malaysia sedia menawarkan tempat kepada pelajar New Zealand di universiti tempatan, contohnya untuk mempelajari bahasa Malaysia," kata Hasnudin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Dan MCA Bantu Mangsa Kebakaran

Artikel Berikut

Artikel Lain