suria

Pelajar Baru Malaysia Tidak Perlu Bimbang Situasi Semasa Indonesia

JAKARTA: Pelajar-pelajar baru Malaysia yang tiba di sini untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi Indonesia dinasihatkan tidak bimbang dengan situasi semasa di republik ini.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan berkata semua pelajar Malaysia, baru dan lama sentiasa dilindungi kedutaan besar itu, yang mempunyai empat agensi bagi mengawasi mereka.

"Pelajar Malaysia adalah di bawah naungan kedutaan besar, kami akan pastikan kesulitan mereka diberikan perhatian sewajarnya, kami ada Jabatan Penuntut Malaysia Indonesia dari Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), MARA dan Pejabat Promosi Pendidikan Malaysia (MEPC).

"Dan saya sendiri sebagai duta amat prihatin untuk memastikan anda semua selesa semasa belajar di Indonesia," katanya kepada sekumpulan pelajar baru Malaysia yang hadir di majlis berbuka puasa untuk rakyat Malaysia di kedutaan besar itu, di Kuningan, Jakarta Selatan.

Sejumlah 40 pelajar baru Malaysia, kebanyakannya ditaja oleh JPA, tiba di sini sejak dua hari lalu untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Ukrida, Jakarta.

Syed Munshe Afdzaruddin juga menasihatkan mereka supaya mengamalkan budaya cemerlang dalam akademik untuk menjadi mahasiswa terbaik di universiti mereka.

Pada masa yang sama beliau mengingatkan mereka agar tidak menjerumuskan diri dalam kancah politik kerana ia merupakan urusan kedua-dua negara.

"Tugas anda di sini ialah memberi tumpuan kepada pelajaran dan aktiviti pembelajaran, bukan sahaja untuk memenuhi harapan ibu bapa tapi juga harapan negara," katanya. Beliau mengundang mereka pada majlis sambutan Aidilfitri di Kedutaan Besar Malaysia, bagi sama-sama memeriahkan suasana kekeluargaan Malaysia melalui juadah hidangan yang disediakan persatuan isteri dan wanita kedutaan itu atau ringkasnya Perwakilan.

Syed Munshe Afdzaruddin menaruh harapan melihat hubungan Malaysia dan Indonesia dapat dimantapkan melalui hubungan dalam bidang intelektual di kalangan pelajar kedua-dua negara, baik di peringkat yang masih menuntut mahupun peringkat yang telah tamat pengajian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain