suria

Balu Syukur Sambut Raya Di Rumah Sendiri

BACHOK: Tiada yang lebih bernilai bagi seorang balu anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selain dapat mendiami rumah sendiri menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Munira Mohamad, 35, balu kepada Bentara Muda Idris Harun berkata sudah bertahun-tahun beliau dan seorang anaknya Mohd Idzhan, 9, terpaksa menumpang di rumah saudara kerana tiada rumah sendiri.

"Kami amat bersyukur kerana kali ini dapat menyambut hari yang mulia itu di rumah sendiri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah berkenaan di Kampung Beris Lalang di sini.

Rumah yang menelan kos RM33,000 itu yang mengandungi tiga bilik tidur, dibina oleh Skuardron Ke-7 Rejimen Jurutera Diraja Malaysia yang berpangkalan di Kem Desa Pahlawan dekat Kota Baharu.

Penyerahan replika kunci rumah itu dilakukan oleh Panglima 2 Divisyen, Mej Jen Datuk Mohd Noor Daud, Sabtu.

Suami Munira meninggal dunia akibat kemalangan letupan meriam ketika bertugas di atas kapal KD Mustari pada 30 Mei 2004.

Sementara itu, Mohd Noor berkata pihaknya merasa bangga dapat membantu Munira dan anaknya tinggal di rumah sendiri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain