suria

Ops Khas Awasi Pendatang Asing Pulang Sempena Aidilfitri

JOHOR BAHARU: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua akan mengadakan operasi khas sempena perayaan Aidilfitri bagi mencegah pelbagai aktiviti yang menyalahi undang-undang di kawasan perairan terutama kegiatan pendatang tanpa izin yang pulang ke kampung masing-masing melalui laluan laut.

Komandernya Asisten Komisioner (ACP) Khamsani Abdul Rahman berkata operasi tersebut akan dilakukan selama dua minggu bermula seminggu sebelum perayaan Aidilfitri.

"Kebanyakan pendatang tanpa izin kini sudah mula bergerak melalui jalan laut untuk pulang ke negara mereka," katanya kepada pemberita selepas meninjau rondaan anggota PGM Wilayah Dua dan majlis berbuka puasa di perairan Tanjung Kupang di sini malam tadi.

Khamsani berkata selain pendatang tanpa izin, usaha juga akan ditingkatkan bagi membanteras penyeludupan rokok.

Katanya PGM akan menggerakkan hampir keseluruhan 400 orang anggotanya bagi memastikan operasi khas berkenaan berjalan lancar.

"Walaupun operasi khas akan bermula seminggu sebelum Aidilfitri tetapi anggota PGM sudah mula mempertingkatkan rondaan mulai sekarang kerana kita tahu banyak aktiviti menyalahi undang-undang berlaku dalam tempoh ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain