suria

Penjual Mee Didakwa Merompak

SHAH ALAM: Seorang penjual mee dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Khamis, atas tuduhan merompak dua pekerja butik dengan bersenjatakan pisau.

Chia Chon Fee, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Dia didakwa merompak Lam Meng Kok, 19, dan Seok Yoke Ching, 29, dengan melarikan wang tunai RM130, sebuah telefon bimbit Sony Ericsson, dua kad ATM, dua lesen memandu dan juga Mykad kedua-dua mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 1.30 petang, 28 Februari lalu di Zen Sense Boutique, nombor 64A, Jalan Bandar Rawang 2, Bandar Baru Rawang, Gombak, dekat sini.

Jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM1,800.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abdul Hamid mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Wan Mohd Norisham menetapkan jaminan tertuduh sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Kes akan disebut semula pada 6 Oktober depan untuk lantikan peguam.

Artikel Lain