suria

MEF Bantah Kenaikan Kadar Caruman Perkeso

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) membantah keras sebarang kenaikan kadar caruman oleh majikan dan pekerja kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso).

Pengarah Eksekutifnya Shamsuddin Bardan dalam satu kenyataan berkata Perkeso sepatutnya mengawal dan mengurangkan kos pengurusan, bukan menaikkan kadar caruman.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan baru-baru ini, yang antara lain menyebut Perkeso telah melaksanakan kajian menaikkan caruman bagi mengatasi peningkatan kos bayaran pampasan dan rawatan golongan pekerja yang semakin meningkat setiap tahun.

Shamsuddin juga mempertikaikan cara Perkeso mengurus caruman kerana sehingga kini amat sedikit maklumat yang didedahkan pertubuhan itu kepada mereka yang terlibat.

"Difahamkan sebanyak RM1.8 bilion dikutip daripada majikan dan pekerja tahun lepas, tetapi tidak banyak maklumat didedahkan mengenai perbelanjaan operasi dan pentadbiran pertubuhan," katanya.

Beliau berkata Perkeso wajar menjelaskan kepada pihak terbabit mengenai kos menguruskan caruman terutamanya peratusan yang diguna untuk pentadbiran pertubuhan.

Shamsuddin juga menyifatkan kenyataan Maznah bahawa kadar caruman Perkeso tidak berubah sejak 1971 sebagai mengelirukan dan tidak tepat kerana skop liputan bagi caruman wajib telah dinaikkan daripada RM2,00 kepada RM3,000 pada 2007.

Beliau berkata pendapatan hasil pelaburan juga merosot berasaskan Laporan Tahunan Perkeso 2008 yang menunjukkan pembinaan bangunan di seluruh negara tidak memberi pulangan kerana kebanyakan bangunan tersebut masih kosong.

"Perkeso sepatutnya menumpukan kepada perniagaan asasnya iaitu menyediakan insurans sosial, bukan membina lebih banyak bangunan pejabat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain