suria

Pemiutang Perlu Ikut Undang-Undang Ketika Kutip Hutang

PUTRAJAYA: Pemberi pinjaman wang perlu mengikut saluran undang-undang sekiranya mereka menghadapi masalah untuk mengutip kembali wang yang telah dipinjamkan dan tidak boleh menggunakan pendekatan menganggu peminjam tersebut.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung berkata ini selaras dengan pindaan terhadap Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan denda lebih berat sehingga RM250,000 dan tiga tahun penjara untuk kesalahan menganggu peminjam.

"Kalau nak menjalankan perniagaan sebagai pemberi pinjaman wang, perlu bersiap sedia macam mana untuk menghadapi pelbagai cabaran kalau peminjam tidak bayar.

"Kita minta semua pemberi pinjaman wang menepati peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam akta ini," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Chor mengulas pertemuan beliau dengan Persatuan Pemberi Pinjaman Wang Berlesen Malaysia di pejabat beliau di Kuala Lumpur pagi tadi.

Katanya dalam pertemuan itu beliau meminta persatuan menyediakan pangkalan data bagi ahli dan bukan ahli untuk memudahkan mereka memberi peringatan untuk memperbaharui lesen kerana kegagalan berbuat demikian boleh didenda sehingga RM1 juta.

Chor berkata beliau turut menerima beberapa cadangan yang dikemukakan oleh persatuan mengenai akta itu dan semua cadangan itu akan diberi pertimbangan sewajarnya.

Katanya kerajaan juga sedang mengkaji kemungkinan mengubah imej pemberi pinjam wang ini kepada "kewangan komuniti" atau "kewangan mikro" bagi mengikis imej ceti pada masa ini.

Sebelum itu, Chor menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) di antara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) mengenai bidang sains forensik kebakaran.

Melalui MoA itu, JBPM akan berkongsi ilmu dalam bidang tersebut manakala USM memberi peluang kepada lima pegawai JBPM melanjutkan pelajaran secara percuma.

Chor berkata kementerian juga sedang mengkaji kemungkinan menambah bilangan makmal forensik daripada sembilan yang ada sekarang dengan cadangan mewujudkan sebuah makmal di setiap negeri bagi meningkatkan kepakaran dan kecekapan dalam bidang itu. -BERNAMA

Artikel Lain