suria

Bangunan MRSM Bentong Masih Selamat Digunakan

KUANTAN: Bangunan-bangunan di kawasan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong yang ditutup pada Disember tahun lepas ekoran berlaku runtuhan tanah masih selamat untuk digunakan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan Pahang Datuk Ir Mohd Soffi Abdul Razak berkata pihak MARA telah memohon untuk pengambilan balik tanah seluas 8.4 hektar di belakang cerun yang runtuh bagi proses pembaikan sebelum MRSM itu boleh diduduki semula.

"Pembaikan akan dibuat setelah proses pengambilan tanah ini selesai, permohonan dengan Pengarah Tanah dan Galian Pahang telahpun dibuat," katanya menjawab soalan Datuk Dr Ng Keong Chye (BN-Ketari) pada sidang Dewan Undangan Negeri Pahang di sini, Isnin. Beliau berkata selain pembaikan cerun, tangki kumbahan di MRSM itu juga akan dibaik pulih.

Mohd Soffi berkata pengosongan MRSM itu bersifat sementara sebagai tindakan berjaga-jaga serta untuk memudahkan urusan pembaikan.

Semua pelajar dan kakitangan MRSM itu kini ditempatkan di MRSM Tun Abdul Razak, Pekan, katanya.

"Perpindahan ini juga untuk memudahkan perancangan pembelajaran pelajar-pelajar terutama bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Penilaian Menengah Rendah 2010," katanya.

Terdahulu, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jenderak Datuk Mohamed Jaafar dilantik mempengerusikan sementara sidang dewan itu bagi menggantikan Yang Dipertua Dewan Datuk Seri Wan Mohamad Razali Wan Mahussin yang mengalami masalah kesihatan.

Mohamed ketika memulakan sidang dewan, memaklumkan bahawa Wan Mohamad Razali sedang menjalani rawatan dan berada dalam keadaan stabil. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain