suria

RM4.7 Juta Untuk Usahawan Wanita - TPM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam Jumaat mengumumkan pemberian geran 'Teman 1Azam' bernilai RM4.7 juta kepada 946 usahawan wanita di negara ini.

Beliau berkata, mereka yang terpilih terdiri daripada peserta perintis program 'Teman 1Azam', anjuran Jabatan Pembangunan Wanita, akan menerima RM5,000 setiap seorang sebagai modal tambahan untuk menjalankan perniagaan.

"Mereka yang menerima geran ini diminta jangan menyalahgunakannya dengan membeli barangan lain. Ini (geran) adalah petanda sokongan kerajaan kepada rakyat untuk membantu usahawan wanita," katanya semasa merasmikan Simposium Usahawan Wanita 2010 di sini Jumaat.

Menurutnya, usahawan wanita di negara ini sebenarnya sangat 'istimewa' kerana mereka tekun bekerja untuk mengembangkan perniagaan masing-masing serta sentiasa amanah dalam menjalankan perniagaan.

"Kita lihat usahawan wanita di negara ini sangat ramai. Setidak-tidaknya kita perlu merangka satu pendekatan yang berkesan untuk menambahkan pendapatan mereka dan meningkatkan lagi bilangan wanita yang berminat dengan dunia perniagaan," katanya.

Meskipun berminat dalam bidang perniagaan, Muhyiddin menasihatkan usahawan wanita supaya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dengan menyertai kursus-kursus yang bersesuaian untuk memajukan perniagaan.

"Yang paling penting bukan soal minat. Tetapi mesti ada kemahiran. Mesti ada ilmu. Tak mungkin kita akan menjadi usahawan yang berjaya kalau kita tiada ilmu," kata beliau.

Muhyiddin juga berkata, mereka perlu menggunakan kemudahan teknologi dan maklumat termasuk menggunakan internet untuk mengiklankan barangan dan perkhidmatan mereka.

Sementara itu, beliau meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menubuhkan satu badan pemantau untuk melihat setiap kemajuan yang dicapai oleh usahawan wanita serta mengenal pasti masalah yang timbul.

"Saya percaya cadangan ini mampu melihat lebih dekat kemajuan dan masalah yang sering dihadapi oleh golongan usahawan wanita serta mampu mencari jalan penyelesaian segera jika timbul sebarang masalah," katanya. Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil berkata, golongan wanita harus lebih bermotivasi untuk meningkatkan taraf hidup dalam bidang keusahawanan.

"Di bawah rancangan-rancangan ekonomi kerajaan seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara(NKRA), Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), pelbagai program dan inisiatif dijalankan untuk memberi manfaat kepada kaum wanita," katanya.

Beliau menambah, Simposium Wanita 2010 pada hari ini adalah satu daripada program yang boleh dijadikan platform untuk usahawan wanita mendapatkan penerangan mengenai hala tuju serta pendedahan skim-skim bantuan, program dan aktiviti anjuran agensi-agensi kerajaan.

Artikel Lain