suria

Khir Toyo: DAP Patut Buat Laporan Pada SPRM Kes Tee Boon Hock

PETALING JAYA: DAP Selangor harus merujuk isu dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh ahli Majlis Perbandaran Klang, Tee Boon Hock kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun Tee telah dipecat dari parti itu.

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata, tindakan memecat Tee yang juga ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) itu seolah-olah seperti sengaja diambil supaya kes berkenaan dapat dilenyapkan dan seterusnya mengaburi mata masyarakat kononnya parti itu tegas dalam isu berkenaan.

Justeru, Mohamad Khir menggesa supaya DAP Selangor merujuk kes berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan jika mereka sebuah kerajaan yang serius dalam menangani masalah rasuah sbagaimana yang dilaung-laungkan.

"DAP harus ingat, wang yang disalah guna itu bukan milik parti mereka tapi sebenarnya wang rakyat, jadi ia melibatkan kepentingan rakyat.

"Jangan ingat bila mereka pecat Tee, mereka boleh lindungi pihak-pihak tertentu. Mereka perlu bawa perkara ini kepada SPRM... biarkan SPRM siasat penyalahgunaan yang wujud," katanya kepada mStar Online di sini pada Isnin.

Sabtu lalu, DAP Selangor mengambil keputusan memecat Tee selepas didapati menyalahgunakan kepala surat milik pejabat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Selangor, Ronnie Liu bagi mendapatkan kontrak bernilai RM1 juta untuk kroni dan seorang ahli keluarganya.

Tee, yang kini menjadi ahli MPK bagi penggal kedua, bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Dia yang pernah menjadi pembantu khas kepada Liu menafikan berbuat demikian sepanjang mewakili Liu di kawasannya. Tee menjadi pembantu khas kepada Liu bermula Mac 2008 hingga 18 November 2009.

Selain itu Mohamad Khir yang juga bekas Menteri Besar Selangot turut menggesa polis supaya menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam memusnahkan bukti sokongan berhubung perkara berkenaan.

Katanya, beliau yakin bukti berhubung penyalahgunaan kepala surat milik pejabat Liu telah dihapuskan bagi mengelakkan tindakan pihak berkuasa.

"Memusnahkan bahan bukti adalah salah di sisi undang-undang, jadi polis perlu siasat mungkin ada dalang yang terlibat dalam kes ini," katanya.

Artikel Lain