suria

MCA Gembira 92 Peratus Pelajar Cina Cemerlang Berjaya ke IPTA

KOTA BAHARU: Perjuangan MCA bagi memastikan lebih ramai pelajar Cina dapat memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tercapai apabila 92 peratus pelajar Cina yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun ini berjaya melanjutkan pelajaran mereka.

Naib Presiden MCA Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata ini membuktikan bahawa perjuangan parti tersebut dalam Barisan Nasional (BN) untuk pendidikan pelajar Cina telah berjaya berdasarkan kepada kesepakatan yang akrab dalam semua parti komponen.

"Jumlah ini lebih tinggi berbanding pada tahun lalu di mana hanya 80 peratus pelajar daripada kaum Cina telah mendapat tempat di IPTA. Kita telah membuktikan apa yang kita buat dalam diam kita telah memperjuangkan hak pelajar-pelajar kita berbanding pembangkang yang hanya bising tapi tidak buat apa-apa," katanya kepada pemberita pada perasmian Mesyuarat Agung MCA Kelantan di sini pada Jumaat.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang turut dihadiri sama Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha dan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong.

Ng yang juga Menteri Pelancongan berkata sebahagian pelajar tersebut juga telah berjaya mendapat kursus-kursus yang popular dan penempatan pelajar itu di IPTA telah berjaya menyelesaikan masalah golongan tersebut yang sering dibangkitkan setiap tahun.

Katanya perjuangan MCA selama 53 tahun untuk membangunkan negara jelas dapat dilihat hasilnya membabitkan masalah ekonomi, membanteras kemiskinan, biasiswa kerajaan serta masalah etnik Cina di universiti.

"MCA telah memberikan yang terbaik dalam memperjuangkan hak etnik Cina," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain