suria

Mahkamah Persekutuan Tolak Permohonan Chong Berhubung Patung Mazu

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Chong Kah Kiat untuk merayu terhadap keputusan kerajaan negeri mengubah kelulusan yang diberi sebelumnya berhubung pembinaan patung Mazu (Dewa Laut) setinggi 30 meter di bandar Kudat.

Beliau juga diperintahkan membayar RM100,000 kepada Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan tiga yang lain sebagai kos perundangan di Mahkamah Persekutuan dan mahkamah rendah.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff.

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Yusof dan Tan Sri James Foong Cheng Yuen. Panel itu bagaimanapun tidak memberi sebarang alasan tentang penolakan permohonan Chong.

Chong menyaman Musa dan tiga yang lain berdasarkan kedudukan beliau sebagai pengerusi Yayasan Amal Thean Hou Kudat selepas Lembaga Perbandaran Kudat, yang meluluskan pembinaan patung itu pada Februari 2006, menarik balik surat kelulusannya pada 15 Nov 2007.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak saman Chong dengan alasan bekas ketua menteri itu tidak mempunyai locus standi kerana yayasan berkenaan bukan sebuah badan yang didaftarkan mengikut undang-undang.

Pada 21 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan Musa, bekas setiausaha kerajaan negeri Datuk K. Y. Mustafa, bekas setiausaha tetap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Ujang Sulani dan Lembaga Perbandaran Kudat untuk mengetepikan saman Chong dengan alasan kedudukan isu-isu dalam kes itu hanya boleh diputuskan melalui bukti.

Mereka kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan yang menerima rayuan mereka pada 5 Ogos.

Dalam saman pemulanya pada 12 Disember 2008, Chong memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa surat kelulusan yang dikeluarkan Lembaga Perbandaran Kudat adalah tidak sah.

Beliau juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa fatwa yang dikeluarkan mufti negeri pada 7 Julai 2006 tentang pembinaan patung itu adalah bercanggah dengan Perlembagaan dan melanggar Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam hujah beliau, peguam Raja Aziz Addruse, yang mewakili Chong, berkata wujud persoalan berkaitan undang-undang yang memerlukan mahkamah tertinggi membuat keputusannya dan mahkamah rayuan telah terkilaf apabila ia hanya memberi fokus terhadap isu sama ada yayasan itu adalah sebuah badan yang tidak sah di sisi undang-undang.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili satu pihak lagi Datuk Seri Muhammad Shaffee Abdullah berkata kes itu tidak boleh menang kerana Chong mengambil tindakan melalui sebuah yayasan yang bukan merupakan sebuah badan berdaftar. - BERNAMA

Artikel Lain