suria

Dunia Pincang Apabila Manusia Berkuasa Tewas Kepada Nafsu: Sultan Perak

KUALA KANGSAR: Sultan Perak Sultan Azlan Shah bertitah bahawa kepincangan besar dan kesengsaraan yang berlaku dalam dunia hari ini kebanyakannya berpunca daripada kelemahan manusia yang tewas kepada pengaruh nafsu apabila diamanahkan kuasa.

Menurut baginda terdapat banyak contoh dalam sejarah yang menunjukkan insan sedemikian akhirnya hanyut dibawa arus kuasa dan tenggelam lemas dalam keadaan hina.

ujian paling mencabar dalam hidup insan adalah ketika seseorang insan itu dianugerahkan kedudukan, jawatan, pangkat dan kuasa tetapi ramai yang tewas dan gagal di peringkat ini, titah baginda pada majlis Konvokesyen Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar) kali ke-4 di sini, Isnin.

"Ketika manusia mabuk dilambung gelombang kuasa, mereka merasakan diri mereka sahaja yang benar dan betul, mereka beranggapan bahawa mereka sahaja yang bijak dan pandai lalu nasihat dan teguran tidak lagi mahu diterima, malah nasihat dan teguran ditafsirkan secara negatif, disifatkan sebagai usaha jahat yang mahu menjatuhkan mereka daripada berada di tampuk kuasa.

"Manusia terlalu kecil untuk berlagak sombong, berlagak bongkak dan sentiasa perlu mendapat bimbingan daripada guru-guru dan orang tua, serta mendapat petunjuk dan hidayat Ilahi," titah baginda.

Sultan Azlan bertitah setiap pengetahuan yang dikuasai seharusnya menginsafkan diri seseorang itu bahawa masih banyak ilmu yang perlu dipelajari di dunia ini. Baginda mahu Kisdar menjadikan satu wawasan utama untuk menyemai nilai-nilai sedemikian dalam jiwa dan roh graduannya.

"Graduan Kisdar hendaklah memiliki sifat-sifat siddiq, amanah, tabligh dan fatanah, mencerminkan jiwa murni yang telah diasuh dengan pendidikan berteraskan roh Islam.

"Roh Islam itu wajib ada dalam jiwa setiap lulusan Kisdar yang mencerminkan dan dipancarkan melalui tindakan serta amalan harian dan bukan semata-mata pada nama yang tertera pada sijil, diploma atau ijazah yang dianugerah oleh Kisdar," titah baginda.

Sebanyak 239 garduan menerima diploma masing-masing pada konvokesyen itu antaranya dalam bidang usuluddin, perbankan dan kewangan Islam serta kesusasteraan Arab. - BERNAMA

Artikel Lain