suria

Maritim Tahan Kapal Tangkap Ikan Secara Haram Di Perairan Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga buah vesel dari Indonesia yang memasuki perairan Pulau Pinang dan menangkap ikan secara haram dalam dua operasi berasingan pada Rabu dan Khamis lepas.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Dua Pulau Pinang, KDR Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata dalam operasi pertama pada Rabu, pihaknya menahan sebuah vasel yang tiada nombor pendaftaraan di 36 batu nautika barat daya Sungai Udang di sini kira-kira pukul 3.20 petang.

"Hasil pemeriksaan mendapati vasel berkenaan memasuki perairan Pulau Pinang dan menangkap ikan secara haram di sini.

"Manakala tekong dan empat awak-awaknya yang berusia antara 16 dan 17 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan diri serta perjalanan yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Robert berkata dalam operasi kedua kira-kira pukul 3 petang semalam, pihaknya menahan dua buah vasel yang juga tiada nombor pendaftaraan di 31 batu nautika barat daya Sungai Udang di sini.

"Tekong dan awak-awak dalam dua vasel berkenaan juga tidak mempunyai dokumen perjalanan diri dan menangkap ikan secara haram di perairan Pulau Pinang,"katanya.

Kesemua mereka kini ditahan bagi membantu siasatan menurut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63. -BERNAMA

Artikel Lain