suria

UM Tidak Mahu Jadi Jaguh Kampung, Sasar Kedudukan 100 Universiti Terbaik Dunia

KUALA LUMPUR: Tidak mahu dilabel 'Jaguh Kampung', universiti tertua di Malaysia, Universiti Malaya (UM) mensasarkan untuk berada di kelompok 100 universiti terbaik dunia menjelang 2015.

Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Ghauth Jasmon berkata ini berdasarkan pencapaian universiti itu yang berjaya menduduki tangga ke-42 universiti Terbaik Asia, selain mengekalkan kedudukan sebagai antara universiti yang berada di tangga teratas dalam ranking institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan.

"Sememangnya kami berbangga dengan kejayaan mempertahankan kedudukan di kalangan IPTA tempatan tetapi UM seharusnya tidak berpuas hati dengan hanya menjadi jaguh kampung. "Misi kita ialah untuk menjadi IPT ternama di peringkat antarabangsa kerana di situ terletak cabaran yang begitu besar kepada kita," katanya ketika berucap sempena Majlis Anugerah Cemerlang UM, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah yang merupakan Pro-Canselor UM.

Turut berangkat ialah Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, yang merupakan Canselor universiti berkenaan.

Pada majlis itu, sebanyak 15 anugerah disampaikan khusus bagi memberi pengiktirafan kepada tenaga akademik UM yang menunjukkan kecemerlangan.

Antara penerima anugerah ialah Prof Madya Dr Azhar M. Merican, yang merupakan pensyarah di Jabatan Ortopedik, Fakulti Perubatan UM, yang membawa pulang wang tunai RM31,000. - BERNAMA

Artikel Lain