suria

2,091 Dijangka Keluar Daripada Miskin Tegar Menerusi Projek Azam Tani

PUTRAJAYA: Lebih 2,000 keluarga yang berdaftar menerusi e-Kasih dijangka keluar daripada garis kemiskinan tegar hujung tahun ini melalui penglibatan mereka di dalam projek 'Azam Tani'.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata projek itu dilaksana secara bersama kementeriannya dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

"MOA dipilih kerana kementerian itu mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam mengendalikan projek seperti itu sebelum ini dan mereka akan membimbing golongan miskin tegar dalam bidang pertanian sehingga mereka dapat keluar daripada garis kemiskinan," katanya kepada pemberita, di sini Khamis.

Beliau sebelum itu menyerahkan cek bernilai RM40 juta kepada Menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar bagi melaksanakan projek tersebut.

Projek 'Azam Tani' merupakan satu projek di bawah 1AZAM yang turut memperkenalkan 'Azam Niaga' (peluang perniagaan melalui latihan dan kemudahan kredit mikro kepada peserta), 'Azam Kerja' (peluang penempatan pekerjaan) dan 'Azam Khidmat' (bekerja sendiri sepenuh masa atau secara sambilan).

Program 1AZAM bertujuan meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah melalui pendekatan social enterprise, iaitu mereka dilatih dan dibimbing melalui pendekatan sosial ekonomik dan inovatif untuk menceburi bidang yang diminati dan berkemahiran berdasarkan potensi individu.

Sementara itu, Noh berkata kementeriannya akan meneliti senarai penerima bantuan tersebut dan melihat kaedah pelaksanaan projek yang paling berkesan iaitu secara individu atau berkelompok.

Beliau berkata antara projek yang dirancang ialah penananaman cili, cendawan, jagung, penternakan ayam kampung, perusahaan burung walit dan juga penternakan ikan hiasan yang semakin mendapat sambutan di dalam dan luar negara.

"Pemantauan akan dilakukan mengikut kawasan Parlimen oleh agensi MOA yang turut mengawal selia projek kementerian di 74 kawasan Parlimen seluruh negara pada masa ini.

"Melalui pengalaman kita sebelum ini projek ini sememangnya berjaya meningkatkan pendapatan pengusaha sehingga dua kali ganda dalam tempoh kira-kira enam bulan, jadi kita yakin kadar kemiskinan tegar dapat dibasmi hujung tahun ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain