suria

Polis Selangor Rampas Dadah Bernilai RM30 Juta Sejak Januari

KUALA LUMPUR: Polis Selangor berjaya merampas pelbagai dadah bernilai lebih RM30 juta yang cuba diseludup masuk ke negeri ini sejak awal tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, seramai 55 warga asing termasuk dari Iran, Singapura, China dan India juga diberkas kerana cuba menyeludup masuk dadah menerusi pintu masuk sekitar Selangor.

"Dadah yang dirampas termasuk ketamin, kokain dan syabu yang kita anggar berat keseluruhan kira-kira 90 kilogram. Warga asing yang diberkas pula berumur antara 20 dan 40 tahun. Tiga daripada mereka adalah wanita iaitu masing-masing dari Iran, Jepun dan China," katanya kepada pemberita, di sini, Ahad.

Nordin berkata pihaknya kini giat melakukan pemantauan di semua pintu masuk di negeri itu termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dan Pelabuhan Klang.

"Kami juga mengesan pelbagai jenis taktik yang dilakukan untuk membawa masuk dadah ke negara ini, antaranya di dalam tangkai beg, botol spray, dalam minyak rambut, bungkusan makanan dan yang terbaru menggunakan ketuhar mikro," katanya.

Kaedah terbaru itu dikesan pada 9 Julai lepas apabila polis menahan seorang lelaki warga Iran berusia 27 tahun di KLIA, ketika cuba menyeludup masuk dadah disyaki syabu seberat 4.15kg bernilai RM1.04 juta menerusi peralatan dapur tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain