suria

Sikap Tak Peduli Punca Aedes

KUALA LUMPUR: Sikap tidak ambil peduli dan kurang kerjasama menyebabkan masalah pembiakan nyamuk Aedes semakin meningkat, khususnya di kawasan sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.

Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr Ismail Abu Taat berkata, kawasan utama pembiakan nyamuk aedes ialah Cheras yang mencatat sejumlah 17 kes bulan lepas.

"Setakat ini, kawasan flat Desa Tasik Fasa 1 yang paling banyak laporan dibuat berkaitan dengan demam denggi," katanya kepada Bernama selepas program pertama "Jom Ganyang Aedes Bersama Aznil" di sini hari ini.

Dr Ismail berkata, punca utama pembiakan ialah masalah longkang tersumbat yang menyebabkan air bertakung dan kawasan persekitaran dipenuhi sampah sarap dari gerai di sekeliling flat tersebut.

"Kebanyakan gerai di sekitar inipun milik penduduk di sini. Mereka kenalah pandai pikul tanggungjawab masing-masing," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga berdepan dengan penduduk yang enggan bekerjasama, terutama ketika operasi antidenggi kerana golongan itu akan menutup pintu rumah mereka setiap kali semburan racun nyamuk dilakukan dan ini menyebabkan ia tidak dapat dilakukan secara menyeluruh.

Beliau berharap, kempen "Jom Ganyang Aedes" yang menggunakan selebriti popular seperti Aznil Nawawi, mampu membantu mengurangkan masalah sedemikian.

Katanya, kempen itu mempunyai tujuh sesi dan sasaran seterusnya ialah Flat Seri Rampai di Setapak pada 1 Ogos ini.- BERNAMA

Artikel Lain