suria

Pemeteraian MoU Malaysia-Indonesia Mengenai Pembantu Rumah Ditangguh

KUALA LUMPUR: Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Malaysia-Indonesia mengenai pembantu rumah yang dijangkakan pada bulan ini kini ditangguhkan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata penangguhan itu akibat beberapa isu yang belum dapat dipersetujui oleh kedua-dua pihak, terutama struktur yuran ejen.

Sementara menunggu isu-isu itu diselesaikan, kementerian kini mengkaji langkah mengambil pembantu rumah dari Thai Selatan dan Mindanao, Filipina oleh kerana kedua-dua kawasan mempunyai majoriti penduduk Islam, katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Perkhidmatan Sosial MIC Taman Wahyu di sini semalam.

Beliau berkata kini tiba masanya bagi Malaysia melihat negara-negara alternatif bagi mendapatkan pembantu rumah, daripada bergantung semata-mata pada Indonesia.

Bulan lepas, Dr Subramaniam berkata MoU antara Malaysia dengan Indonesia mengenai pengambilan pembantu rumah dijangka ditandatangani dalam tempoh sebulan iaitu pada Julai supaya pembekuan pembantu rumah Indonesia boleh ditarik balik.

Indonesia membekukan pembekalan pembantu rumah ke Malaysia pada Jun 2009, berikutan beberapa kes penderaan pembantu rumah dan kurangnya faedah termasuk gaji minimum bulanan dan permintaan bagi cuti rehat sehari dalam seminggu.

Bulan lepas, Kuala Lumpur dan Jakarta menandatangani Surat Hasrat bagi memberi dimensi baru terhadap pengambilan pembantu rumah di Malaysia dan kedua-dua negara bersetuju terhadap terma-terma yang dikaji semula. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain