suria

Kerajaan Galak Penubuhan Persatuan Bukan Islam Di Sekolah

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa menggalakkan penubuhan persatuan pengajian agama bukan Islam di sekolah-sekolah di negara ini bagi memberi pengajaran dan pendedahan terhadap nilai-nilai murni agama kepada penganutnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata, dakwaan kononnya terdapat beberapa persatuan bukan Islam di sebuah sekolah di Klang, diarah dibubarkan adalah tidak benar sama sekali.

"Saya telah menerima maklumat balas daripada (Ketua Pengarah Pelajaran) Tan Sri Alimuddin Mohd Dom bahawa tidak ada sebarang arahan untuk menutup persatuan pengajian agama bukan Islam di sekolah-sekolah seperti yang dilaporkan.

"Saya berpendapat pertubuhan sedemikian harus digalakkan untuk memberi pengajaran dan pendedahan kepada nilai-nilai murni kepada penganut-penganut agama yang berkenaan dan sebagai satu aktiviti kokurikulum di sekolah," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini pada Selasa.

Beliau mengulas mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam bahawa tiga persatuan bukan Islam di sebuah sekolah di Klang telah diarah bubar sejak dua minggu lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain