suria

SPAD Cadang Anjur Forum Pengangkutan Awam Dua Kali Setahun

KUALA LUMPUR: Satu forum pengangkutan awam akan diadakan sekurang-kurang dua kali setahun bagi meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, forum yang akan disertai oleh Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), media dan orang awam itu bakal menfokuskan kepada permasalahan yang timbul tentang pengangkutan awam.

"Tujuan utama forum ini diadakan adalah untuk mendapat maklum balas daripada pengguna khususnya mengenai sistem pengangkutan awam negara kita.

"Adakalanya kita di peringkat pengurusan tidak tahu apa yang terbaik untuk pengguna. Jadi dengan forum ini diharap dapat membantu kita dalam memperbaiki perkhidmatan kepada mereka," katanya pada sidang media selepas lawatan ke KL Sentral di sini pada Isnin.

Katanya, kerajaan memandang serius terhadap sistem perkhidmatan awam negara ini supaya dapat memberi pulangan dan keselesaan kepada pengguna.

Syed Hamid berkata, setakat ini SPAD melalui Kumpulan Syarikat Prasarana Negara yang menguruskan rangkaian pengangkutan ringan itu telah mengambil beberapa langkah seperti menambah bilangan gerabak baru, memperkenalkan penggunaan tiket bulanan dan menaiktaraf hentian yang bermasalah.

Terdahulu, Syed Hamid melakukan lawatan kerja dengan menaiki Perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT) untuk meninjau sendiri proses perjalanan dan masalah yang dihadapi pengangkutan awam itu.

Beliau yang diiringi oleh Pengerusi Kumpulan Syarikat Prasarana Negara, Tan Sri Izzuddin Dali dan Ketua Pegawai Ekskutif SPAD, Mohd Nur Kamal meluangkan masa lebih dua jam menaiki LRT dari stesen KL Sentral menuju ke Masjid Jamek sebelum singgah ke hentian Hang Tuah di sini.

Beliau turut sempat meluangkan masa berbual-bual dengan pengguna LRT lain bagi mengetahui masalah yang mereka hadapi dalam menggunakan sistem pengakutan itu sebelum meneruskan perjalanan ke hentian Bukit Bintang sebelum kembali semula ke KL Sentral.

"Saya berpuas hati dengan lawatan hari ini. Selain dapat merasai sendiri menaiki LRT, saya mendapat gambaran jelas mengenai sistem pengangkutan negara kita dan lawatan sebegini akan dilakukan dari masa ke semasa," katanya.

Artikel Lain