suria

Curi Pasir: MB Selangor Lepas Tangan

Kawasan melombong pasir seluas 120 hektar yang telah dikorek sebanyak 20 hektar dengan kedalaman 26.6 meter Kawasan itu terletak kira-kira 16.6 meter berhampiran kawasan hutan simpan rekreasi Paya Indah Wetland. -foto BERNAMA
Kawasan melombong pasir seluas 120 hektar yang telah dikorek sebanyak 20 hektar dengan kedalaman 26.6 meter Kawasan itu terletak kira-kira 16.6 meter berhampiran kawasan hutan simpan rekreasi Paya Indah Wetland. -foto BERNAMA
Kawasan melombong pasir seluas 120 hektar yang telah dikorek sebanyak 20 hektar dengan kedalaman 26.6 meter Kawasan itu terletak kira-kira 16.6 meter berhampiran kawasan hutan simpan rekreasi Paya Indah Wetland. -foto BERNAMA

PETALING JAYA: Pendedahan terbaru berhubung skandal kegiatan melombong pasir di Selangor yang semakin tidak terkawal membuktikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim 'lepas tangan' serta tidak mengambil langkah proaktif bagi menangani kegiatan berkenaan, kata Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam.

Beliau berkata, aktiviti melombong pasir secara haram tidak akan berleluasa sekiranya Abdul Khalid benar-benar serius membanteras kegiatan berkenaan yang menyebabkan kerajaan negeri kerugian berpuluh-puluh juta ringgit setiap tahun.

"Isu curi pasir di Selangor bukan perkara baru, saya yang mula-mula bangkitkan dulu, tapi masalah ini semakin merebak kerana kerajaan negeri tak mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya.

"Sejak pendedahan yang saya buat dulu, Menteri Besar masih berdiam diri... tak ambil tindakan tegas," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media hari ini yang mendedahkan mengenai kegiatan melombong pasir di kawasan seluas 20 hektar tanah terletak kira-kira 50 meter dari taman rekreasi Paya Indah Wetlands di Dengkil.

Aktiviti yang dipercayai dijalankan di atas tanah milik kerajaan itu berlangsung sejak dua minggu lalu dan dikatakan 10 juta tan metrik pasir dianggarkan bernilai RM220 juta sudah dikorek.

Selain itu, Manikavasagam turut mendedahkan bahawa beliau mempunyai 25 kes serta bukti hasil aduan orang ramai mengenai penyeludupan pasir di seluruh Selangor.

"Sehingga kini saya menerima 25 kes yang diadukan kepada saya, orang awam datang bertemu saya dan maklumkan mengenainya.

"Malah saya sendiri pernah pergi melihat ke kawasan-kawasan berkenaan sekitar pukul 2 pagi bagi meninjau aktiviti haram mereka... ketika ini mungkin Menteri Besar sedang nyenyak tidur," katanya.

Bagaimanapun beliau masih mempertimbangkan sama ada mahu menyerahkan semua maklumat berkenaan kepada pihak berkaitan termasuk Abdul Khalid kerana tidak yakin dengan langkah yang diambil.

"Tapi saya sendiri pun tak pasti mahu ajukan kepada siapa kes-kes ini, kalau bagi kepada Menteri Besar, beliau mungkin tak ada masa nak tengok... beri kepada SELCAT (Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor) sama juga.

"Namun mungkin saya terpaksa bagi kepada dia juga, tapi sama ada beliau akan ambil tindakan ataupun tidak itu terpulang kepadanya," katanya.

Sebelum ini sesi pertama Pendengaran Awam SELCAT yang ditangguhkan 4 Jun lalu, tidak menemui bukti berlaku skandal pasir seperti yang didakwa Manikavasagam, sebaliknya mendapati wujud bukti berlaku kelemahan dalam urus tadbir pengurusan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Manikavasagam mendakwa pegawai KSSB, sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri terbabit dalam kegiatan melombong pasir secara haram sehingga menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil pendapatan sebanyak RM10 juta.

Dalam pada itu, Manikavasagam turut mendesak kerajaan negeri supaya mengembalikan kuasa kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bagi mengendalikan urusan galian dan mineral di Selangor.

Jelasnya, ini berikutan kegagalan syarikat KSSB mengendalikan urusan pasir dengan baik.

"Kembalikan kuasa kepada PTG, ini kerana KSSB tidak berupaya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin.

"KSSB gagal uruskan soal pasir, malah mereka tak lakukan pemantauan ataupun penguatkuasaan berhubung isu yang cukup serius ini," katanya.

Artikel Lain