suria

Tong Gas Memasak Meletup, Pegawai Penjara Melecur

BESUT: Seorang pegawai penjara melecur terkena api akibat letupan daripada tong gas memasak yang bocor di kediamannya di Kampung Baharu, Kuala Besut, kira-kira pukul 9 malam tadi.

Abdul Halim Omar, 57 yang cedera di muka, tangan dan kaki kini diberikan rawatan lanjut di Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan sejak pukul 2 pagi tadi. Bagaimanapun, keadaannya dilaporkan stabil.

Menurutnya abangnya, Ismail Omar, 70, letupan berlaku secara tiba-tiba selepas adiknya mendekati tong gas berkenaan setelah terhidu bau gas dari arah dapur.

"Ketika menghampiri dapur untuk menutup gas tersebut tiba-tiba berlaku satu letupan dan api menyambar muka dan pakaian adik saya," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Ismail berkata, letupan kuat itu turut merosakkan almari dapur, tingkap serta pintu dapur. Letupan yang mencetuskan api itu turut menyambar langsir serta kerusi rumah adiknya itu.

Katanya isteri mangsa, Rubiah Ismail, yang ketika itu berada di dalam bilik sempat memadamkan kebakaran dan terus meminta pertolongan beliau bagi menghantar suaminya ke Hospital Daerah Besut untuk rawatan.

Ismail berkata Abdul Halim sebelum ini menetap di Pulau Pinang kerana bertugas di sana dan beliau baru pulang untuk menetap di kampung itu selepas mula bersara hari ini. - BERNAMA

Artikel Lain