suria

Dr. Mohd. Asri Dijangka Sertai Umno

PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin disebut-sebut akan menyertai Umno bersama 100 ulama muda lain Jumaat ini.

Mengulas mengenai perkara berkenaan, Naib Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang, Datuk Abd. Rauf Yusof ketika dihubungi mStar Online di sini semalam berkata: "Ya, tunggulah Jumaat ini."

Sebelum itu, beliau berkata, barisan ulama berkenaan akan menyertai parti menerusi Cawangan Dataran Merdeka, Bukit Bintang.

"Perkembangan itu akan menyemarakkan keyakinan Melayu kepada Umno. Kita akan menuju Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan Umno yang lebih cemerlang,” katanya ketika berucap pada mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Bukit Bintang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang kelmarin.

Memetik laman web rasmi parti, Umno Online, Ab Rauf yang juga Ketua Bahagian Umno Bukit Bintang berkata, kemasukan ulama itu akan menjadikan Umno lebih segar, “dibajai dengan ilmu-ilmu Islam dan seterusnya membantu kepimpinan negara membangunkan Malaysia.”

Sementara itu, Mohd Asri ketika dihubungi berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Umno mengenai isu berkenaan.

Tokoh agama muda berkenaan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Sementara itu, dalam entri terkini dalam blognya, Mohd Asri berkata tidak akan membuat sebarang kenyataan media berhubung perkara berkenaan.

"Sebarang kenyataan kepada media tidak akan dibuat setakat ini. Saya berdoa kepada Allah agar diberikan kebaikan untuk umat Islam dan para pendakwah Islam yang ikhlas," tambahnya.

Sebelum ini, timbul desas-desus bekas Mufti Perlis itu akan menyertai parti politik dalam masa terdekat.

Beliau telah beberapa kali dilihat menghadiri majlis rasmi Umno dan PAS bagaimanapun sehingga kini tokoh agama itu tidak pernah mengulas mengenai penyertaan beliau dalam mana-mana parti politik.

Artikel Lain