suria

Sukar Banteras Jenayah Pemerdagangan Manusia - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan sukar membanteras kegiatan pemerdagangan manusia ke negara ini kerana ia kompleks yang melibatkan jenayah rentas sempadan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kesukaran itu adalah disebabkan jenayah tersebut mempunyai hubung kait dengan jenayah lain seperti pelacuran, dadah dan sebagainya.

Katanya, lebih sukar apabila kebanyakan warga asing yang memasuki negara ini adalah secara sah sama ada sebagai pelancong atau pun sebagai pelajar.

"Sindiket ini adalah jenayah global dan agak sukar untuk dibanteras jika tidak ada satu pelan kukuh untuk menanganinya.

"Di Malaysia sahaja setiap tahun seramai 26 juta rakyat asing masuk ke negara ini dan dipercayai tiga juta daripada mereka adalah pekerja asing," katanya.

Hishammuddin berkata demikian ketika menjawab soalan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang meminta kerajaan menyatakan masalah berhubung isu itu pada idang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Katanya lagi, antara halangan lain yang dihadapi oleh kerajaan adalah sindiket tersebut adalah sindiket global dan kebanyakan mangsa yang terlibat tidak mahu membuat laporan kepada pihak polis.

Pun begitu, katanya, kerajaan melalui agensi-agensi penguatkuasaan sedia ada telah melaksanakan pelbagai usaha dan hasilnya seramai 1,447 orang telah berjaya diselamatkan dari tempoh Feb 2008 hingga 30 Mei 2010.

Menurutnya, mangsa telah diberikan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) dibawah Seksyen 44 (2) Akta Anti-Pemerdagangan Orang 2007.

"Seramai 338 mangsa telah dikenal pasti sebagai mangsa sebenar dan telah diberi Perintah Perlindungan (PO) dibawah Seksyen 51(3) Akta yang sama," katanya.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, faktor politik tidak kukuh dan ekonomi negara asal mangsa yang tidak kukuh turut menjadi punca kepada peningkatan kes ini di peringkat dunia.

Katanya lagi, kerajaan akan memperkukuhkan sistem dan proses dalam pengumpulan data warga asing ke negara ini sebagai langkah mengurangkan kadar perdagangan manusia di negara ini.

Artikel Lain