suria

Polis Awasi Tempat Tumpuan Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Peminat bola sepak yang ingin menonton Piala Dunia 2010 di tempat tumpuan terbuka akan diawasi polis melalui rondaan berkala sepanjang kejohanan bola sepak utama dunia itu.

Dijangkakan ribuan peminat bola sepak di negara ini akan berkumpul di merata tempat yang menawarkan skrin besar untuk setiap perlawanan bola sepak yang bermula malam ini sehingga 11 Julai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata rondaan secara berkala itu dilakukan bukan untuk tujuan menakutkan orang ramai sebaliknya mengawal keselamatan mereka ketika berhimpun atau berkumpul di sesuatu tempat terbuka.

"Antara langkah yang akan diambil ialah membuat pemantauan dan membuat rondaan secara berkala di tempat tumpuan orang ramai seperti kedai mamak, pusat membeli belah, kelab malam dan lain-lain lagi.

"Tindakan ini juga dilakukan bagi membendung kes-kes yang berkemungkinan berlaku seperti ragut dan samun," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana individu yang cuba melakukan kekecohan semasa menonton perlawanan bola sepak berkenaan di tempat awam.

"Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa juga termasuk warga asing jika mereka ini melakukan kekecohan sehingga menimbulkan perkara yang tidak diingini seperti pergaduhan," katanya.

Bakri berkata polis juga meminta orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika meraikan kemeriahan pesta bola sepak antarabangsa di sekitar ibu kota.

Sebelum ini polis telah menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi membendung kegiatan judi haram melalui talian menjelang perlawanan kejohanan terbesar di dunia ini.

"Kita turut memantau perkara ini ketika rondaan berkala itu dilakukan dan adalah menjadi tugas polis bagi menahan mana-mana pelaku salah perjudian sama ada perseorangan atau kumpulan yang terlibat jika diketahui mereka terlibat dalam mengendalikan judi talian," katanya.

Beliau berkata mereka yang terlibat dan didapati bersalah boleh didakwa mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289), Akta Pertaruhan 1953, Akta Jenayah Komputer 1977 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. -BERNAMA

Artikel Lain