suria

Koperasi Dicadang Jadi Pembekal, Atasi Masalah Kekurangan Gula

KOTA BAHRU: Langkah menggerakkan koperasi sebagai ejen bekalan barangan keperluan, dapat menangani masalah kekurangan barangan tersebut terutama gula di negara ini, kata Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Mangsor Saad.

Beliau berkata, ini memandangkan hampir separuh daripada koperasi di negara ini adalah koperasi kepenggunaan, termasuk koperasi sekolah dan koperasi di rancangan pembangunan tanah.

"Jika koperasi ini diberi tanggungjawab menjadi pengedar bahan bekalan keperluan... saya yakin masalah kekurangan bekalan gula yang menjadi isu hangat di negara ini dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Pelaburan Koperasi Dalam Konteks Ekonomi Semasa Zon Timur, di sini hari ini. "Benda yang sama, pernah kita lakukan di Sabah dan Sarawak dan ia ternyata berjaya," katanya.

Malah, kata beliau, di Semenanjung Malaysia, gerakan koperasi Felda Berhad telah mengambil peranan yang sama dan ia ternyata berkesan.

Mangsor mengulas saranan supaya koperasi dilantik menjadi pembekal barangan keperluan pengguna. Sebelum ini, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dilaporkan berkata, pihaknya sedia menggerakkan lebih 7,000 koperasi gabungannya di seluruh negara bagi mengedarkan barangan kawalan kepada pengguna. Timbalan Yang Dipertua Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, cadangan itu adalah usaha alternatif jika peniaga menghentikan penjualan tiga barangan kawalan iaitu gula, minyak masak dan tepung gandum mulai Selasa depan.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Guru-Guru Melayu Kelantan (KGMK), Abdul Ghani Mat, berkata pihaknya bersedia menerima dan melaksanakan cadangan itu kerana koperasi berkenaan mempunyai kemudahan dari segi prasarana dan logistik. - BERNAMA

Artikel Lain