suria

Selamat Pulang Dari Gaza Hadiah Hari Lahir Paling Bermakna

SEPANG: Pengalaman menjadi salah seorang penghuni penjara Israel selama 17 jam sebelum selamat pulang ke pangkuan keluarga merupakan peristiwa paling istimewa yang tidak mungkin dapat dilupakan buat Ahmad Faizal Azumu yang bakal menyambut hari lahirnya yang ke-40 pada 10 Jun ini.

Menurut Faizal, pengalaman kapal dikepung dan berdepan sendiri dengan kekejaman tentera Israel langsung tidak pernah terlintas di fikirannya, sehinggalah dia mengalaminya sendiri.

"Selepas semua yang saya alami di sana, barulah saya sedar betapa jahatnya mereka. Memang banyak yang saya belajar melalui misi ini walau hasrat menghantar bantuan tidak kesampaian," katanya yang merupakan salah seorang ahli Perdana Global Peace Organisation (PGPO) di sini hari ini.

Enam sukarelawan yang ditawan Israel semalam bersama Rachel Corrie telah selamat pulang kira-kira pukul lapan malam tadi.

Faizal memberitahu dia pada mulanya tidak begitu bersungguh-sungguh untuk menyertai misi itu.

Namun, selepas mengharungi cabaran hebat dan melihat sendiri kekejaman Israel, dia menganggap apa yang berlaku adalah satu pengajaran yang tidak ternilai.

"Saya nekad untuk berkempen habis-habisan bagi mencari jalan menghantar bantuan ke Gaza," tegasnya.

Malah, dia juga tidak berputus asa dalam usaha untuk menyampaikan bantuan dan sumbangan untuk rakyat Palestin selepas ini.

Pun begitu, dia mengakui sedikit terkilan dan kecewa kerana tentera Israel sewenang-wenangnya menidakkan hak rakyat Palestin.

"Cuba bayangkan kanak-kanak di sana nak jumpa sebiji gula-gula pun susah. Mereka tiada pensil atau buku macam kanak-kanak kita di sini.

"Tentera Yahudi pula kata simen adalah barang kawalan. Mereka juga kata simen boleh dijadikan senjata sedangkan kita bawa simen untuk tujuan pembinaan dan ia mendapat pelepasan setelah diperiksa," katanya.

Menurut Faizal, saat yang paling tidak dapat dilupakannya apabila komando rejim mula menyerbu masuk Rachel Corrie dan saat-saat dalam perjalanan ke penjara.

"Ketika tentera Israel menyerbu, cuaca kepanasan. Perjalanan ke penjara pula saya rasa sangat memeritkan, tapi syukur saya kembali," jelasnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain