suria

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen Panggil Nazri Esok

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen hari ini menangguhkan keterangan bela diri Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaannya konsep 1Malaysia diilhamkan Apco Worldwide, perunding Amerika Syarikat yang sama di belakang kempen One Israel.

Penangguhan itu dibuat selepas jawatankuasa berkenaan, yang sepatutnya mendengar keterangan bela diri itu hari ini, menolak permohonan Anwar supaya anggota Parlimen pembangkang lain dapat turut serta dalam prosiding itu sebagai pemerhati.

Mesyuarat jawatankuasa berkenaan juga ditangguhkan bagi membuat keputusan mengenai peranan yang akan dimainkan peguam Anwar, Datuk Ambiga Sreenevasan yang juga bekas presiden Majlis Peguam Malaysia dalam prosiding berkenaan.

Pengerusi jawatankuasa itu Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata mesyuarat jawatankuasa itu akan disambung esok dengan memanggil dua saksi iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan wakil Apco Worldwide.

"Anwar akan dipanggil semula pada suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen selepas mesyuarat itu ditangguhkan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai hasil mesyuarat hari ini.

Pada 22 April lepas, Dewan Rakyat memutuskan melalui undian suara untuk merujuk Anwar kepada jawatankuasa tersebut berikutan usul yang dibentangkan oleh Mohamed Nazri.

Apco Worldwide yang menafikan dakwaan Anwar berkata kerajaan Maaysia menggunakan khidmat mereka selepas konsep 1Malaysia diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dakwaan penglibatan firma itu dalam kempen One Israel adalah palsu.

Enam anggota Parlimen yang menganggotai jawatankuasa itu ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee, Datuk Seri Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah), Datuk Razali Ibrahim (BN-Muar), Nancy Shukri (BN-Batang Sadong), R. Sivarasa (PKR-Subang) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor). -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain