suria

Sembilan Negeri Capai Prestasi Hampir 100 Peratus Dalam Proses Daftar Pindah Milik Tanah

KUALA LUMPUR: Sembilan negeri telah dapat mencapai prestasi hampir 100 peratus dalam proses permohonan pendaftaran pindah milik tanah dalam tempoh sehari waktu bekerja.

Sejak inisiatif 'One Piece Flow' (OPF) diperkenalkan Januari lalu, aliran wang yang beredar dalam pasaran hartanah meningkatkan kepada RM22.9 bilion bagi suku pertama tahun ini berbanding RM18.3 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, dalam kenyataan hari ini, berkata pencapaian hampir 100 peratus itu dicatatkan oleh Pentadbiran Tanah Negeri di Pahang, Perlis, Terengganu, Kuala Lumpur, Negeri sembilan, Johor, Melaka, Perak dan Pulau Pinang.

Proses OPF bermaksud penerimaan mana-mana penyerahan pindah milik yang ‘lengkap dan sempurna untuk didaftarkan’ (Fit for Registration) terus diproses dan didaftarkan.

Melalui proses OPF, pendaftaran pindah milik hanya membabitkan ‘Landed Property’ yang tidak termasuk hak milik strata, boleh dilaksanakan dalam tempoh satu hari bekerja.

Sebelum pelaksanaan OPF, pindah milik tanah diproses secara ‘Batch Processing’ (BP) yang sebelum ini mengambil masa 105 hari kemudian berjaya dikurangkan kepada 30 hari pada tahun lepas.

Kementerian itu berkata transformasi itu merupakan sebahagian daripada usaha melonjak penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kerajaan selaras dengan konsep 1Malaysia: "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Maklumat lanjut mengenai pindah milik tanah dalam sehari boleh diperolehi melalui laman web www.kptg.gov.my dalam ruangan BULETIN PMT1H atau mana-mana laman web Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri yang berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain