suria

Polis Tumpas Sindiket Penipuan SMS

KUALA LUMPUR: Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket penipuan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) minggu lalu yang berpangkalan di Tawau, Sabah dengan tertangkapnya 26 orang termasuk dua wanita, minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun berkata, suspek yang berumur antara 16 hingga 41 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di dua buah kondominium berasingan.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas wang berjumlah RM6,000, empat buah komputer riba dan 73 buah telefon bimbit serta beberapa barangan lain untuk kegunaan kegiatan penipuan itu.

"Didapati juga setiap hari mereka menghantar 4,000 SMS melalui empat komputer riba yang setiap satu boleh menghantar 1,000 SMS.

"Kesemua mangsa sedang direman bagi mendapatkan keterangan lanjut dan dipercayai dua orang lagi suspek yang dikenali sebaga Pak Agus dan Achoh yang masih bebas dapat membantu dalam menyiasat kes ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan penipuan dan boleh dikenakan denda sebanyak RM150,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya lagi, seorang daripada 26 orang yang ditahan itu adalah rakyat tempatan dan selebihnya adalah warga asing.

Koh berkata, modus operandi sindiket itu termasuklah menghubungi orang ramai menerusi SMS yang mengatakan mereka memenangi hadiah lumayan melalui peraduan anjuran Petronas, Shell dan Power Root.

Menurut Koh, setakat ini sebanyak 177 kes telah dicatatkan mengenai penipuan SMS bagi tahun 2010 sehingga April dan jumlah tersebut agak membimbangkan.

Apabila mangsa memberi respon kepada SMS yang dihantar, sindiket berkenaan akan memaklumkan mangsa supaya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun tertentu sebelum boleh menuntut hadiah berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan berkenaan dan sentiasa berhati-hati dengan SMS atau pun panggilan yang tidak dikenali.

"Kegiatan penipuan melalui SMS terus dilaporkan walaupun pelbagai nasihat dan amaran daripada pihak polis dikeluarkan bagi menangani kegiatan ini," katanya.

Sementara itu, lebih RM6 juta dicatatkan sebagai jumlah kerugian yang dilaporkan dari tahun 2006 hingga April 2010 berhubung kegiatan penipuan melalui Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang berselindung di sebalik ganjaran wang ringgit.

Artikel Lain