suria

Polis Pahang Tahan Tiga Lelaki, Rampas Dadah Bernilai RM286,400

KUANTAN: Polis Pahang berjaya merampas beberapa jenis dadah bernilai RM286,400 dan menahan tiga lelaki dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kuantan pada Selasa dan Rabu lepas.

Ketua Polis negeri Datuk Robiah Abdul Ghani berkata dalam kes pertama pihaknya menahan seorang buruh berusia 41 tahun di hadapan sebuah rumah di Taman Megah Ria, Air Putih di sini pada pukul 11.30 malam, Selasa lepas.

Polis turut merampas sebuah beg di tangan suspek yang mengandungi 80 paket plastik berisi serbuk keputihan dipercayai heroin yang kesemuanya seberat 200 gram serta wang tunai RM545 dan dua buah telefon bimbit.

"Suspek yang berasal dari Selangor itu positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai lima kes lampau membabitkan dadah dan samun dan dia kini direman seminggu untuk membantu sisatan," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM12,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Robiah berkata dalam serbuan kedua seorang penganggur berusia 22 tahun dari Terengganu ditahan selepas polis menemui 5,960 biji pil berwarna kemerahan bertanda 'WY' yang disyaki pil Yaba bernilai RM238,400, di dalam sebuah bilik yang diinapinya di sebuah resort di Cherating pada Rabu.

"Pemeriksaan di rumah suspek di Terengganu pula menemui 1,000 biji pil yang sama bernilai RM40,000 manakala suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine ketika ditahan," katanya.

Beliau berkata suspek yang dipercayai bergiat aktif dengan kegiatan pengedaran dadah selama tiga bulan itu kini direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

Robiah berkata pada hari yang sama, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun ketika berada di dalam sebuah kereta di kawasan letak kereta di sebuah resort di Cherating pada pukul 10 malam.

Polis menemui satu paket plastik berisi 200 biji disyaki pil Yaba dianggarkan bernilai RM8,000 di atas pelapik bahagian penumpang hadapan.

Turut dirampas daripada penjual ikan yang berasal dari Terengganu itu adalah dua buah telefon bimbit, wang tunai RM92 dan kereta yang dinaiki suspek dan dia kini direman seminggu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (1) ADB 1952.

"Kita percaya ketiga-tiga lelaki yang ditahan itu berkaitan dan dipercayai terbabit dengan sindiket pengedaran dadah namun kita masih menyiasat mengenai perkara itu," katanya.

Katanya kesemua dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk edaran sekitar bandar ini dan Cherating. - BERNAMA

Artikel Lain